Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis tahan seorang lagi lelaki bantu siasatan kes bunuh di Tawau


Tarikh kemaskini: 13/06/2019





TAWAU, 13 Jun (Bernama) -- Polis menahan seorang lagi lelaki semalam, bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh seorang pengusaha warung makan yang mayatnya kemudian ditemukan di Jalan Bantu, Fajar di sini pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Ak Umbuas berkata lelaki itu ditahan pada jam 9.10 malam di kawasan Bulatan Udang, Jalan Chen Fook di sini, kerana disyaki terlibat dalam kejadian bunuh Jaafar Jalman, 49 tahun.

"Suspek lelaki ditahan reman selama tujuh hari sehingga 19 Jun ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pada Isnin lalu, Jaafar ditemui mati di dalam longkang di Jalan Bantu, Fajar di sini dengan dua kesan tikaman di tengkuk kiri serta dada kanan.

Susulan kejadian itu, pada Selasa empat remaja lelaki yang kesemuanya pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Filipina ditahan antara 1.45 petang hingga 4.40 petang di sekitar bandar Tawau, untuk membantu siasatan.

Ahad lalu, Jaafar dilaporkan keluar rumah seorang diri pada 12.45 tengah malam bagi tujuan berjalan-jalan selepas berkemas dan menutup warung makan bersama isterinya.

Jaafar kemudiannya dilaporkan hilang sehingga mayatnya ditemui orang awam.

Sementara itu Anggota Dewan Undangan Negeri Apas Datuk Nizam Abu Bakar Titingan meminta  pasukan keselamatan untuk meningkatkan kawalan dalam membenteras jenayah dilakukan pendatang haram di Tawau dan juga Sabah amnya.

“(Kebelakangan) banyak jenayah dilaporkan pendatang haram ini sehingga mengakibatkan kematian.

“Saya minta Polis Diraja Malaysia, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dapat memperketatkan kawalan di pesisir pantai dan ambil tindakan menangani isu ini kerana kejadian seumpama in merisaukan seluruh rakyat Sabah," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan wang tunai kepada isteri mangsa, Sunarti Ismail, 39 di sini hari ini.

Nizam berkata, penduduk Tawau juga dinasihatkan untuk mengelak berada di tempat sunyi, gelap serta kawasan yang kerap berlaku jenayah terutamanya di waktu malam.

“Saya juga berharap penduduk Tawau dapat melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya ternampak perkara mencurigakan dan melanggar undang-undang agar tindakan segera dapat diambil,” katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     

P. Pinang catat 384 kes rogol dari tahun 2014 hingga 2018

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel