Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pertemuan syarikat Sabah dengan pelabur China diharap buka peluang baharu


Tarikh kemaskini: 13/06/2019





KOTA KINABALU, 13 Jun (Bernama) -- Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berharap pertemuan syarikat tempatan Sabah dengan pelabur China dalam Mesyuarat Meja Bulat Pembuatan Pintar Malaysia-China yang diadakan esok, akan membuka lebih banyak peluang pelaburan ke negeri ini.

Beliau juga berharap para pelabur China yang terlibat dalam mesyuarat itu akan turut melihat potensi pelaburan dalam pembangunan infrastruktur yang menjadi keutamaan kerajaan negeri khususnya seperti pembangunan pelabuhan, landasan kereta api dan empangan.

"Sabah menerima banyak pelaburan dari China tetapi kami perlu melihat secara lebih terperinci untuk memastikan para pelabur tersebut adalah daripada sektor itu (pembangunan pelabuhan, landasan kereta api dan empangan) bagi membantu, sekali gus memberi panduan kepada kami dalam menjalankan kerja dengan lebih baik dan sudah tentu ia akan membantu Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat Menteri Industri dan Teknologi Maklumat China, Miao Wei di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah, yang turut dihadiri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking hari ini.

Mohd Shafie juga berharap Miao bersama rombongannya akan dapat memaklumkan prospek projek pembangunan infrastruktur berkenaan kepada para pelabur China.

Kementerian dari China itu turut diharap dapat membuka ruang kepada masyarakat Sabah untuk menjalani latihan di Huawei, syarikat pengeluar peralatan telekomunikasi gergasi China, bagi membolehkan teknologi negara berkenaan dimanfaatkan di negeri ini.

Sementara itu, menurut Miao, sebanyak 20 syarikat akan terlibat dalam mesyuarat meja bulat tersebut termasuk daripada kalangan syarikat yang sudah lama bertapak kukuh di Malaysia serta beberapa syarikat teknologi yang baru memasuki pasaran Sabah.

"Saya percaya, mesyuarat meja bulat ini nanti akan membuka lebih banyak peluang kepada Sabah khususnya dalam membawa pelaburan selain menyediakan maklumat relevan kepada pelabur," katanya.

Mesyuarat yang bertemakan 'Kerjasama Menangf-menang Untuk Pembangunan Inovatif Pembuatan' itu dihoskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dengan kerjasama Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China.

Sementara itu, Darell dalam satu kenyataan berkata MITI akan bekerjasama rapat  dengan Kerajaan Negeri Sabah bagi memudahkan mana-mana potensi pelaburan termasuk perdagangan secara langsung antara negeri itu dan China, kedudukannya yang sangat strategik dengan China akan membolehkan kuasa ekonomi itu membawa lebih banyak peluang pelaburan ke Sabah serta sekaligus, mewujudkan peluang pekerjaan.

"Matlamatnya adalah untuk mewujudkan situasi menang-menang bagi kedua-dua pihak," katanya sambil menambah yang beliau juga gembira dengan hubungan rapat antara kerajaan Sabah dan China, yang telah  dipertingkatkan lagi dengan lawatan dua hari Miao ke negeri itu.

Darell berkata lawatan Miao ke Sabah adalah hasil jemputan yang dibuat olehnya ketika mengadakan kunjungan ke Beijing pada April lalu, bagi pihak Mohd Shafie.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel