xpg3jKgvN80 Abah pesan jaga agama, bahasa dan ikatan keluarga - Khir Rahman
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Abah pesan jaga agama, bahasa dan ikatan keluarga - Khir Rahman


Tarikh kemaskini: 13/06/2019





KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Pesanan Allahyarham Datuk A. Rahman Hassan mengenai agama, bahasa dan ikatan kekeluargaan antara perkara yang kekal menjadi ingatan Khairulizam Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Khir Rahman.

Anak sulung kepada Allahyarham itu ketika ditemui di kediamannya di Taman Sri Ukay, Hulu Klang berkata pesanan tersebut akan dipegang dan diturunkan kepada anak-anak serta keluarga kerana perkara itu penting dalam menjalani kehidupan yang serba moden dan canggih.

“Abah selalu ingatkan anak-anak untuk jaga agama kerana agama di atas kertas sahaja tidak memberi makna jika kita sendiri tidak amalkan perintah Allah.

“Beliau juga seorang yang pentingkan bahasa dan dia tak suka dengar bahasa rojak, cakap tunggang langgang dan tatabahasa lari,” katanya.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan kira-kira 2.50 petang di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat, di sini. 

A. Rahman, 73, yang merupakan Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Akademi Seni dan Warisan (Aswara) meninggal dunia di Hospital Ampang, pada 12.40 tengah malam tadi susulan komplikasi kesihatan.

Khir berkata sejak bapanya sakit pada awal Jun lalu, mereka sekeluarga sering berada di samping Allahyarham sehingga menghembuskan nafas terakhir di Hospital Ampang tengah malam tadi.

Menurutnya, mereka sekeluarga sempat menyambut hari raya Aidilfitri di Kuala Lumpur dan Johor serta Allahyarham tidak menunjukkan sebarang tanda yang dirinya sakit.

“Allahyarham sempat berpesan kepada cucunya untuk datang ke rumahnya untuk menyambut hari jadi pada hari ini 13 Jun dan pada tarikh sama, ahli keluarga memang datang ke rumah tetapi bukan untuk menyambut hari kelahiran,” katanya dalam keadaan sebak.

Sementara itu,  Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata Allahyarham akan dikenang sepanjang masa kerana lagu-lagu irama pop yeh yeh yang menjadi kegemaran rakyat tidak mengira usia. 

"Saya sering mengikuti perkembangan seni Allahyarham dan kali terakhir bertanya khabar menerusi aplikasi Whatsapp pada 6 Jun lalu… dia memaklumkan keadaannya yang sihat. 

"Saya terkejut dengan kehilangan ini kerana saya sendiri suka cungkil kembali semangat penyanyi lama dan kini negara kehilangan insan seni yang berbakat," katanya kepada pemberita selepas melawat jenazah Allahyarham di kediamannya. 

Ratusan rakan artis dan orang ramai hadir bagi memberi penghormatan terakhir termasuk Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), Datuk DJ Dave, Datuk Jeffry Din, Datuk M Nasir, Datuk Yusof Haslam dan Othman Hafsham.

Tanah perkuburan itu turut menempatkan pusara isterinya, Allahyarham Datin Azizah Mohamad yang meninggal dunia pada 2013.

Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Fadilah Mansor dan dua anak iaitu Khairulizam (Khir Rahman) dan Khairulazmi.

Anak kedua arwah, Khairul Ilmi meninggal dunia pada 2016 akibat kanser.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50

 
     

Lexis Hibiscus Port Dickson dinamakan tempat perkahwinan terkemuka di dunia

 
     

Ibu berpantang harungi banjir bersama bayi berusia 15 hari

 
     

JAS Negeri Sembilan sita kilang disyaki lepaskan enap cemar minyak hitam terpakai

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel