Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Program jerayawara perlu bagi promosi mySalam ke luar bandar Sabah


Tarikh kemaskini: 14/06/2019





KOTA KINABALU, 14 Jun (Bernama) -- Kerajaan dicadang mengadakan program jerayawara bagi memperhebat hebahan dan promosi Skim Perlindungan Kesihatan Nasional (mySalam) khususnya di luar bandar Sabah sekali gus memastikan golongan B40 di kawasan itu mengetahui dan dapat merasai manfaatnya.

Tinjauan Bernama di sekitar bandar raya ini mendapati rata-rata ramai tidak mengetahui kewujudan skim itu, yang dilancarkan kerajaan pada 1 Jan lepas hasil kerjasama dengan syarikat insurans Great Eastern Holdings, dan tidak mustahil golongan sasar skim berkenaan di luar bandar juga kurang maklum mengenainya.

Seorang aktivis Hellen Morris, 59, berkata matlamat program itu jelas untuk membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan bantuan insurans bagi menjalani rawatan penyakit dihidapi, namun, manfaat inisiatif itu dilihat seperti tidak begitu diketahui masyarakat umum termasuk kaedah permohonannya.

Justeru, Hellen yang juga Presiden Persatuan Sukarelawan Kanser dan Kemasyarakatan Sipitang Sabah turut mencadangkan kerajaan menjalin kerjasama dengan badan bukan kerajaan di negeri ini untuk mengadakan program jerayawara supaya gerakan promosi mySalam lebih agresif di luar bandar.

"Ini bagi memastikan kesedaran mengenai insiatif ini dapat disebarkan kepada golongan sasar di luar bandar di Sabah kerana mereka lebih memerlukannya. Meskipun golongan B40 di luar bandar ada pekerjaan, tetapi pendapatan mereka sederhana untuk menanggung kos dan keperluan rawatan penyakit," katanya kepada Bernama, di sini.

Bagi seorang pesara, Paris Langut, 69, dia tidak begitu peka mengenai mySalam dan hanya sekadar mengetahui skim itu menerusi pembacaan laporan berita, bagaimanapun, mengesyorkan supaya manfaat inisiatif tersebut dihebahkan secara lebih meluas demi manfaat rakyat B40 sebagai golongan sasar.

"Skim ini bagus dan manfaatnya perlu disebarkan ke semua daerah termasuk di setiap hospital di kawasan luar bandar. Penerangan mengenai skim ini perlu diberikan kepada individu memerlukan supaya mereka memahami adanya kemudahan perlindungan kesihatan diberikan kerajaan untuk mereka," katanya.

Bagi seorang peniaga Sakinatul Nabila Bitis, 34, pihak berkaitan menggerakkan inisiatif itu juga perlu mewujudkan ruangan hebahan mySalam di setiap hospital dengan menempatkan petugas berperanan memberi penerangan mengenai skim itu supaya ia lebih diketahui umum dan dekat dengan rakyat.

"Saya tidak berapa mengetahui mengenai mySalam…saya cuma ada membaca mengenainya daripada laporan berita sahaja. Saya juga mencadangkan supaya ada usaha sama dengan jawatankuasa kampung supaya ia dapat disebarkan kepada individu memerlukan di kawasan terbabit," katanya.

Sementara itu, Fariz Abdul Rani, 37, yang buat pertama kali mendengar skim mySalam ketika ditemu ramah berkata, media sosial seperti Facebook adalah antara platform terbaik seharusnya digunakan untuk menghebahkan secara meluas maklumat skim mySalam kepada pengetahuan umum.

Skim mySalam diperkenalkan pada 1 Jan 2019 menawarkan perlindungan kesihatan percuma kepada penerima B40 layak untuk 36 penyakit kritikal sehingga RM8,000 dan memberi bayaran harian sebagai pendapatan gantian semasa rawatan hospital bagi tempoh maksimum 14 hari setiap tahun pada kadar RM50 sehari atau bersamaan RM700 setahun.

Inisiatif itu adalah hasil kerjasama kerajaan dengan syarikat insurans, Great Eastern Holdings, yang menyumbang caruman dana permulaan RM2 bilion ke dalam dana amanah, mySalam.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kuching

 
     

Empat ADUN pembangkang gesa Perlis terima pegawai SPRM

 
     

Sultan Selangor berkenan hadir ke Jamuan Teh Diraja

 
     

LTTE: Permohonan ikat jamin dua ADUN, ketua pegawai perbadanan didengar Isnin

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel