Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Media jangan jadi alat untuk kepentingan pihak swasta - Lim


Tarikh kemaskini: 15/06/2019





BATU KAWAN, 15 Jun (Bernama) -- Menteri Kewangan Lim Guan Eng menasihatkan pihak media supaya tidak menjadi alat untuk kepentingan syarikat swasta dengan menyiarkan laporan palsu dan tidak berasas.

Beliau berkata pihak media perlu bersikap profesional dan bertanggungjawab terhadap laporan yang dikeluarkan.

"(Media) Jangan siarkan berita yang bukan-bukan dan tidak berasas kerana anda hanya menjadi alat untuk kepentingan pihak swasta.

"Mereka (syarikat swasta) mahu promosikan projek mereka dan untuk jual surat khabar, anda siarkan berita palsu itu...ia bukanlah satu tindakan yang bertanggungjawab," katanya pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Hotayi Electronic (M) Sdn Bhd, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada 10 Jun lepas yang  melaporkan terdapat dua syarikat yang merancang untuk membina lapangan terbang baharu, masing-masing dinamakan sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Utara Malaysia (NMIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Wilayah Utara (NORIA), di dua lokasi berbeza di selatan Seberang Perai di bahagian tanah besar Pulau Pinang.

Laporan itu menyebut, dua lapangan terbang baharu yang dicadangkan itu akan menggantikan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) di Bayan Lepas selain menyebabkan cadangan membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim melalui Inisiaitf Pembiayaan Swasta (PFI) tidak lagi perlu. 

Lim yang juga Anggota Parlimen Bagan berkata laporan itu adalah palsu dan kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri Pulau Pinang dan Kedah masing-masing tidak tahu menahu mengenai cadangan pembinaan lapangan terbang baharu itu.

Beliau berkata kerajaan kini memberi keutamaan kepada projek pembesaran dan menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas yang mampu menampung sehingga 16 juta penumpang.

Ditanya sama ada kerajaan akan mempertimbangkan sekiranya ada syarikat swasta mengemukakan kertas cadangan, beliau berkata kerajaan tidak akan melayan sebarang berita palsu.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan akan kaji penggunaan alat permainan yang mampu asah minda kanak-kanak

 
     

FAMA rancang bangunkan tanah wakaf dengan tanaman durian

 
     

Kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut belum siap sepenuhnya - Chow

 
     

Geran usahawan hanya untuk yang benar-benar layak - Mohd Redzuan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel