Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pengagihan hasil kutipan cukai pelancongan kepada negeri akan diteruskan setiap tahun - Lim


Tarikh kemaskini: 15/06/2019





BUKIT MERTAJAM, 15 Jun (Bernama) -- Pengagihan hasil cukai pelancongan kepada negeri-negeri akan diteruskan setiap tahun apabila 50 peratus akan diberikan balik ke negeri seperti yang dijanji oleh kerajaan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Lim berkata pengagihan untuk kutipan cukai pelancongan pada tahun 2019 dijangka diberikan kepada setiap negeri pada suku pertama tahun 2020.

"Kita tepati janji, bukan seperti kerajaan dahulu janji tetapi tidak bagi...kutipan cukai pelancongan tahun 2018 telah dibayar awal tahun ini dan pembayaran akan diteruskan setiap tahun," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri DAP Pulau Pinang di sini hari ini.

Beliau berkata Pulau Pinang merupakan negeri yang kedua terbanyak menerima pengagihan cukai pelancongan iaitu sebanyak RM10 juta selepas Sabah yang mendapat RM12 juta.

"Bagi pembayaran cukai pelancongan kepada setiap negeri, kita akan mengikut proses yang sama iaitu kerajaan persekutuan akan membayar balik 50 peratus daripada jumlah cukai yang dikutip dari setiap negeri," katanya.

Cukai pelancongan merupakan cukai yang dikutip daripada pelancong-pelancong asing iaitu sebanyak RM10 untuk satu malam ke atas pelancong asing yang tinggal di hotel atau tempat penginapan yang berdaftar.

Dalam laporan March lepas, selain Sabah dan Pulau Pinang, pembayaran 50 peratus hasil cukai pelancongan juga diterima oleh Selangor iaitu sebanyak RM10.3 juta, Johor (RM7.99 juta), Pahang (RM7.86 juta), Melaka (RM5.35 juta), Kedah (RM5.08 juta), Sarawak (RM2.58 juta), Negeri Sembilan (RM2.47 juta), Perak (RM1.25 juta), Terengganu (RM1.03 juta), Kelantan (RM150,000) dan Perlis (RM20,000).

Sementara itu, Lim yang juga Setiausaha Agung DAP juga mengingatkan semua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang agar teruskan usaha mereka untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Walaupun pemerintahan di Pulau Pinang telah masuk penggal ketiga, kita tidak boleh terlalu leka dengan sokongan yang ada dan semua aduan rakyat harus diambil serius.

Terdahulu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim, Ketua Menteri Chow Kon Yeow, Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman bersama-sama dengan ribuan rakyat berbilang kaum  hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka DAP Pulau Pinang di sini.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Pasukan bola sepak Sabah, peserta Unduk Ngadau sertai perarakan Hari Kebangsaan

 
     

Berdepan pertuduhan rogol: Exco Perak dinasihat cuti daripada tugas rasmi

 
     

Senarai penuh Kabinet Sarawak

 
     

Kerajaan PH akan terus laksana polisi beri manfaat pada rakyat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel