Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sabah tidak pernah lulus permit import benih guarana


Tarikh kemaskini: 15/06/2019





KOTA KINABALU, 15 Jun (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah setakat ini belum pernah meluluskan permohonan permit mengimport benih guarana ke negeri ini, kata menterinya, Datuk Junz Wong.

Beliau berkata kementeriannya perlu menilai potensi tanaman tersebut selain mengkaji kesan sampingan terhadap tanaman lain seperti getah dari segi penyakit.

Justeru, katanya, sebarang penanaman guarana di Sabah merupakan kemasukan benih secara haram dan kementerian tidak teragak-agak memusnahkan sebarang ladang guarana jika ditemui di negeri itu.

"Buat masa ini, guarana tidak termasuk dalam kategori tanaman dipromosi sebagai penjana ekonomi. Sebarang tanaman baharu diperkenalkan di Sabah perlu melalui proses penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan," katanya, dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata kementeriannya sama sekali tidak akan berkompromi berhubung aspek biosekuriti tumbuhan mahupun ternakan sebelum dibawa masuk atau ditanam di negeri ini.

Junz berkata Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 dan Peraturan-Peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981 kawasan komponen Semenanjung, Sarawak dan Sabah telah menetapkan prosedur membawa masuk guarana yang tertakluk kepada syarat ditetapkan dan wajib mendapat Import Permit Tumbuhan.

Beliau mengeluarkan kenyataan tersebut selepas menerima kunjungan daripada syarikat Ritz Corporate Holding Berhad yang berhasrat  untuk mengembangkan penanaman guarana di Sabah.

Beliau turut meminta semua pihak menghormati undang-undang selain mematuhi segala keperluan serta prosedur operasi standard kuarantin dalam membawa benih guarana ke negeri itu.

Junz turut menasihatkan orang ramai sekiranya mempunyai keraguan mengenai tanaman guarana supaya membuat rujukan terus kepada Jabatan Pertanian Sabah bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Guarana atau ‘paullina cupana’ merupakan sejenis pokok herba yang berasal dari Venezuela dan Utara Brazil, yang berfungsi sebagai perangsang sistem saraf pusat dan mengandungi dua kali kafein daripada kopi.

Tahun lalu, kerajaan mengharamkan import tumbuhan dan benih guarana dari kawasan Tropika Amerika kerana dikhuatiri membawa penyakit Hawar Daun Amerika Selatan (SALB) yang boleh menjejaskan industri tanaman getah di negara ini.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

FAMA rancang bangunkan tanah wakaf dengan tanaman durian

 
     

Kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut belum siap sepenuhnya - Chow

 
     

Geran usahawan hanya untuk yang benar-benar layak - Mohd Redzuan

 
     

Yong bercuti, beri tumpuan kepada perbicaraan kes rogol

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel