Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penghuni penjara melepas rindu beraya bersama keluarga


Tarikh kemaskini: 15/06/2019





KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Selepas sebulan berpuasa, kemunculan syawal begitu dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam terutama penghuni tirai besi.

Bagi mereka, peluang bermaafan dan berpelukkan dengan ahli keluarga pada bulan yang mulia ini bagaikan mimpi menjadi kenyataan.

Baru-baru ini sekumpulan insan ini dipertemukan dalam Majlis Jalinan Kasih anjuran Penjara Sungai Buloh di sini. 

Sebak, teruja dan gembira, itulah perasaan bercampur baur dirasai penghuni penjara itu tatkala memandang kelibat anggota keluarga “menembusi” tembok batu yang selama ini memisahkan mereka.

Seakan rindu yang tidak tertanggung, tubuh ibu, ayah, anak mahupun adik beradik dirangkul erat, sambil air mata bercucuran. Acara penyampaian bunga membuka tirai program itu.

Program Jalinan Kasih diadakan setiap tahun bagi memberi peluang kepada penghuni terpilih bertemu dan bermaafan bersama keluarga mereka sempena sambutan Aidilfitri.

Bagi Rashid (bukan nama sebenar), kehadiran keluarga memberi erti yang cukup besar kepadanya dalam proses mengubah diri dan menginsafi kekhilafan lalu.

"Saya terharu dan gembira dapat jumpa keluarga, bukan senang dapat jumpa. Sebab kat luar pun abaikan keluarga, jadi kat sini saya nak puaskan bersama famili dulu la," katanya.

Disabitkan kesalahan menyamun dan merompak berkumpulan di sebuah restoran pada 2015, anak muda berusia 26 tahun dan berasal dari Kampung Baru, di sini ini nekad tidak mengulangi kesilapan lalu dan mencari sinar harapan untuk berubah.

"Janji saya pada kedua ibu bapa adalah mohon maaf dari pada hujung rambut ke hujung kaki dan saya janji tak kan buat lagi. Saya akan jadi anak yang soleh dan doakan ibu ayah masuk syurga," tambah Rashid.

Rashid berkata sepanjang dimasukkan ke penjara, sejak tiga tahun lalu, banyak pengalaman dan ilmu yang diajar oleh warden dan pegawai penjara terutama menyentuh aspek kerohanian dan ilmu agama, yang mampu dijadikan bekalan menempuh hidup baru apabila dibebaskan kelak.

"Dalam penjara ini banyak ajar mengaji, complete lah. So kat dalam ni bukan untuk menghukum, tapi untuk mendidik," katanya yang menjalani hukuman penjara empat tahun.

Lebih manis, berkat ilmu yang dicurahkan serta kesungguhan Rashid menghafaz Al-Quran, beliau dipilih memenangi tempat kedua dalam pertandingan Hafazan peringkat negeri Selangor pada tahun lepas.

Khai, 28, bekas pegawai kerajaan pula bersyukur kerana keluarga, terutama ibu dan ayah serta isteri tercinta masih menerimanya dan memberi sokongan penuh untuk beliau memperbaiki diri.

"Saya belajar hargai… hargailah sokongan dari pada keluarga. Mungkin kat luar sana kita lupa keluarga kita, tapi bila kita masuk penjara, disabitkan kesalahan, baru kita sedar siapa yang berada di belakang kita," katanya yang bersyukur ibu bapa beliau tidak pernah mengetepikannya walaupun dia menjadi banduan.

Bapa kepada tiga orang anak ini disabitkan kesalahan melarikan orang serta kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Azman, 43, bekas anggota polis pula disabitkan kesalahan di bawah seksyen 365 Kanun Keseksaaan kerana melarikan orang pada 2013.

Bagi bapanya, Mat Sali, beliau bersyukur dan berterima kasih kepada pihak penjara kerana memberikan peluang, terutama isterinya yang amat merindui pelukan anak keenam mereka itu.

"Saya pun bersyukur mak dia dapat jumpa, tiap-tiap malam mak dia asyik menangis je. Dan sebagai bapa, saya tidak sesekali 'membuang' anak saya dan sentiasa memberi sokongan serta peluang kepadanya memperbaiki diri," tambah beliau.

Seramai 27 penghuni dipilih menyertai program itu dengan seramai 137 ahli keluarga terlibat pada tahun ini.

Kriteria untuk terpilih berdasarkan tingkah laku yang baik ditunjukkan banduan ketika berada di penjara serta baki hukuman melebihi lapan bulan.

Pada majlis itu, turut diadakan, acara potong kek sempena sambutan hari ibu dan bapa peringkat penghuni Penjara Sungai Buloh.  

Walaupun sayu tidak dapat merasai kemeriahan suasana hari raya di kampung halaman, namun kehadiran ibu ayah pastinya memberikan seribu makna dan kegembiraan kepada mereka, dengan harapan keinsafan sentiasa mengiringi mereka atas segala kesilapan lalu.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Nazrin, Tuanku Zara berangkat ke Pertandingan Pidato Diraja 2019

 
     

Tiada lagi pencemaran di Sungai Ulu Benut

 
     

Buluh, daun rumbia hasilkan replika tempua terbesar di Malaysia

 
     

KYP Advanced Skills dialukan dalam penubuhan De' Royal Azizah Culinary School

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel