Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Selangor catat hasil RM1.214 bilion sehingga 7 Jun tahun ini


Tarikh kemaskini: 15/06/2019





SHAH ALAM, 15 Jun (Bernama) -- Kutipan hasil kerajaan negeri Selangor adalah sebanyak RM1.214 bilion sehingga 7 Jun tahun ini  berbanding 1.067 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, selain itu, Selangor turut mencatatkan aliran pelaburan tempatan  dan luar negeri berjumlah RM18.947 bilion pada tahun 2018 berbanding 5.592 bilion pada tahun sebelumnya.

"Peningkatan jumlah pelaburan sebanyak 238 peratus itu adalah yang tertinggi dalam sejarah negeri serta peningkatan hasil negeri sebanyak 13.79 peratus menunjukkan negeri ini berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran yang ditetapkan dalam Belanjawan 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri peringkat Selangor di Bulatan Bazarena Seksyen 13, di sini, malam ini,

Turut berkenan berangkat hadir pada program tersebut ialah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Mengiringi Sultan Selangor ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan barisan exco kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, kerajaan negeri akan memastikan kebajikan rakyat dibela dan dijadikan keutamaan seperti mana yang dititahkan oleh Sultan Selangor.

"Sesungguhnya pentadbiran ini amat menginsafi mandat yang diberikan rakyat pada 9 Mei 2018. 

"Adalah menjadi tanggungjawab buat kita untuk menterjemahkan mandat tersebut kepada sistem politik berasaskan nilai, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata pihaknya akan mengekang amalan politik fitnah serta adu domba yang dilihat boleh menjejaskan muafakat dan keharmonian di negeri ini.

Beliau berkata langkah itu adalah perlu bagi memenuhi matlamat Selangor menuju negeri pintar dengan memastikan rakyat  mengamalkan sikap murni.

"Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor sudah mengeluarkan titah pada 29 Mei 2019 lalu supaya orang Melayu menjauhi sifat negatif.

"DYMM mengingatkan rakyat Selangor terutamanya orang Melayu bahawa gejala fitnah memfitnah serta perasaan hasad dengki, pengkhianatan dan perasaan benci yang dipamerkan, seolah-olah dijadikan satu budaya dalam kalangan orang Melayu," katanya.

Terdahulu kira-kira 50,000 rakyat Selangor menghadiri rumah terbuka itu dan majlis turut dimeriahkan dengan persembahan artis tempatan termasuk Datuk Jamal Abdillah, Jay Jay dan Hael Husaini. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan akan kaji penggunaan alat permainan yang mampu asah minda kanak-kanak

 
     

FAMA rancang bangunkan tanah wakaf dengan tanaman durian

 
     

Kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut belum siap sepenuhnya - Chow

 
     

Geran usahawan hanya untuk yang benar-benar layak - Mohd Redzuan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel