Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sultan dan Sultanah Kedah berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri


Tarikh kemaskini: 15/06/2019





ALOR SETAR, 15 Jun (Bernama) -- Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat negeri yang berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti di sini, malam ini.

Turut berangkat sama Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff, Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan isteri Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff, Tunku Bendahara Kedah Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah, Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah serta Che Puan Besar Kedah Che Puan Hajah Haminah.

Hadir sama Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan barisan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) negeri.

Pelbagai juadah disediakan dari pelbagai jabatan dan agensi kerajaan kepada orang ramai dalam majlis yang bermula pada 7.30 malam itu antaranya pulut mempelam, pulut durian, nasi daging, kuih raya serta berbagai-bagai jenis minuman.

Lebih 10,000 pengunjung yang terdiri daripada pelbagai kaum hadir menikmati makanan yang disajikan pada majlis rumah terbuka berkenaan sambil dihiburkan dengan persembahan nyanyian.

Sementara itu, Mukhriz dalam ucapannya berkata majlis seumpama itu bukan sahaja mengeratkan hubungan dan menyuburkan perpaduan kaum malah memupuk semangat muhibah dalam kalangan rakyat di negara ini.

"Inilah istimewanya Malaysia kerana kita sambut semua kaum, semoga hubungan ini kekal terjalin dan diwarisi generasi akan datang, malah ia dianjurkan secara perkongsian antara jabatan dan agensi tanpa melibatkan belanja besar. Ia juga tepat dengan semangat Malaysia Baru di mana semua pihak berganding bahu dan tenaga," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50

 
     

Lexis Hibiscus Port Dickson dinamakan tempat perkahwinan terkemuka di dunia

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel