Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Keperluan naiktaraf Mahkamah Anak Negeri dibincang dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemandu MA63 - Abang Jo


Tarikh kemaskini: 16/06/2019





KUCHING, 15 Jun (Bernama) -- Keperluan untuk menaik taraf Mahkamah Anak Negeri Sarawak supaya setaraf dengan mahkamah sivil dan mahkamah Syariah adalah antara isu yang dibawa kepada Jawatankuasa Pemandu mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata ini membolehkan masalah berdasarkan adat dan tradisi suku kaum termasuk kes berkaitan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) diselesaikan dengan cara yang lebih tersusun.

"Isu ini telah dibincangkan berdasarkan pemahaman kita tentang MA63 kerana kita mempunyai Mahkamah Tinggi Borneo yang harus ada hakim dari Sarawak atau Sabah untuk mendengar rayuan," katanya ketika melancarkan sambutan Gawai peringkat negeri 2019 bertemakan "Indi Awang Indi Asung "yang bermaksud Sehati Sejiwa dalam bahasa Bidayuh.

Abang Johari berkata beliau juga meminta timbalannya, Datuk Amar Douglas Uggah untuk mengetuai jawatankuasa itu bagi mengkaji untuk menaiktaraf mahkamah anak negeri supaya setaraf dengan mahkamah sivil dan mahkamah syariah.

Beliau yakin bahawa jawatankuasa itu dapat memperbaiki struktur mahkamah anak negeri berdasarkan adat dan tradisi tempatan dengan panduan pakar undang-undang untuk menyelesaikan masalah tertentu yang dihadapi oleh masyarakat Dayak.

Kadang-kadang ketua menteri berkata beliau berasa bahawa mahkamah sivil mungkin tidak begitu kompeten untuk menghakimi masalah seperti berkaitan isu tanah NCR.

"Hanya anak negeri Sarawak memahaminya dan pemahaman itu adalah platform untuk rakyat Sarawak menentukan nasib mereka sendiri," katanya.

Beliau juga menggesa komuniti Dayak untuk melibatkan diri dalam pertanian moden untuk meningkatkan pendapatan dan merangsang ekonomi luar bandar.

Terdahulu, pengerusi Jawatankuasa Penganjur Utama Datuk Seri Michael Manyin, yang juga Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri serta kerajaan persekutuan kerana menyediakan infrastruktur asas yang memberi manfaat kepada komuniti Dayak di luar bandar.

 Gawai Dayak disambut pada 1 dan 2 Jun setiap tahun oleh masyarakat Dayak yang terdiri daripada etnik Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Nazrin, Tuanku Zara berangkat ke Pertandingan Pidato Diraja 2019

 
     

Tiada lagi pencemaran di Sungai Ulu Benut

 
     

Buluh, daun rumbia hasilkan replika tempua terbesar di Malaysia

 
     

KYP Advanced Skills dialukan dalam penubuhan De' Royal Azizah Culinary School

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel