Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Rozali akan dilantik sebagai Datuk Bandar MBSP


Tarikh kemaskini: 16/06/2019





BUTTERWORTH, 16 Jun (Bernama) -- Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Datuk Rozali Mohamud merupakan calon yang  akan dilantik menjadi Datuk Bandar untuk Majlis Bandaraya Seberang Perai selepas Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu dinaiktaraf kepada status bandaraya.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata pelantikan Rozali dibuat  dalam satu keputusan pada mesyuarat Exco pada Rabu lepas.

"Keputusan telah diambil untuk meneruskan perkhidmatan Datuk Rozali yang sekarang ini merupakan  Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai sebagai Datuk Bandar baharu bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Latihan Ahli Majlis Proses Penyediaan Belanjawan PBT di sini hari ini.

Jagdeep berkata urusan bagi penyempurnaan jawatan itu akan dibuat selepas ini dimana pelantikan Rozali sebagai Datuk Bandar MBSP perlu mendapat perkenan  Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terlebih dahulu.

"Saya dimaklumkan pihak kementerian (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) perkara ini (pelantikan) ini perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan selepas perkenan itu baharu Datuk Bandar akan mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas. Bagaimanapun tarikh angkat sumpah ini akan diumumkan kemudian, " katanya.

Jagdeep sebelum ini mengumumkan Kerajaan Persekutuan telah meluluskan permohonan Kerajaan Negeri untuk menaik taraf MPSP kepada majlis bandar raya pada 8 Mei lalu.

Ia sekaligus menjadikan Pulau Pinang satu-satunya negeri di Malaysia yang kesemua Pihak Berkuasa Tempatannya (PBT) bertaraf bandar raya selepas Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang memperoleh status majlis bandar raya pada tahun 2015, dikenali sebagai Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Untuk MPSP, kerajaan negeri Pulau Pinang telah menghantar permohonan untuk menaik taraf status MPSP kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada Disember lepas dan pengumuman menaiktaraf status MPSP kepada MBSP akan dibuat kerajaan persekutuan selepas Hari Raya Aidilfitri.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Pasukan bola sepak Sabah, peserta Unduk Ngadau sertai perarakan Hari Kebangsaan

 
     

Berdepan pertuduhan rogol: Exco Perak dinasihat cuti daripada tugas rasmi

 
     

Senarai penuh Kabinet Sarawak

 
     

Kerajaan PH akan terus laksana polisi beri manfaat pada rakyat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel