Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Projek ECRL mampu rancakkan sektor pelancongan di Luak Johol - Undang Johol


Tarikh kemaskini: 16/06/2019





Oleh NURFARDLINA IZZATI MOKTAR

KUALA PILAH, 16 Jun (Bernama) -- Pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Luak Jelebu di lihat mampu merancakkan lagi sektor pelancongan di Luak Johol selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, kata Undang Luak Johol Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Datuk Mohammed Abdullah.

Beliau berkata kedudukan Luak Johol yang bersebelahan dengan Luak Jelebu membolehkan lokasi tersebut menerima tempias secara tidak langsung daripada pembangunan ECRL di kawasan itu sekaligus boleh dijadikan sebagai lokasi persinggahan bagi pelancong daripada luar.

"Di Luak Johol, kita mempunyai kawasan yang menarik untuk dilawati seperti Gua Batu Maloi, rumah tradisional yang sudah melebihi 150 tahun, Balai Undang Luak Johol yang terbuka untuk dilawati pelawat, makanan tradisional seperti gulai jangek dan apam Johol serta muzik tradisional iaitu Tumbuk Kalang dan Cak Lempong.

“Sebenarnya pembangunan mampan ECRL memang khusus melalui Jelebu dan di Johol, kita akan mendapat tempias daripada pembangunan ECRL itu sendiri seperti kontraktor yang membekalkan pasir dan batu kuari,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Undang Luak Johol yang diadakan di Balai Undang Luak Johol, di sini.

Turut berkenan berangkat hadir memeriahkan majlis ialah Undang Luak Jelebu Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Maarof Mat Rashad, Undang Luak Rembau Datuk Lela Maharaja Datuk Muhamad Sharip Othman dan Undang Luak Sungai Ujong Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak.

Hadir sama, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga Anggota Parlimen Kuala Pilah Eddin Syazlee Shith, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan isteri Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof, barisan Exco kerajaan negeri, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang serta ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan.

Berbicara lanjut, Mohammed berkata di Luak Johol, beliau telah mempersiapkan segala produk khususnya eko-pelancongan untuk dilawati pelancong.

"Penduduk tempatan juga ada mengeluarkan produk keluaran sendiri sebagai contoh Orang Asli menghasilkan produk seramik dan replika kecil rumah yang diperbuat daripada rotan dan kayu yang dijual secara tidak langsung mewujudkan peluang pekerjaan dan merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi di sini.

“Kita juga boleh mengadakan tempat untuk kita letak contohnya kandang landak, kijang, pelanduk, ular sawa, ayam hutan dan sebagainya di tepi-tepi kawasan hutan berhampiran dengan sungai dan (kemudian) masuk ke perkampungan Orang Asli. Jadi, apabila pelancong datang, mereka nampak secara terus rupa pelanduk dan kalau di Singapura, mereka tak tahu apakah itu pelanduk, ayam hutan, kijang dan kerbau,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut menyuarakan hasrat untuk menjadikan Luak Johol sebagai destinasi yang terkenal walaupun kawasan berkenaan bukan kawasan industri sebaliknya kawasan pertanian yang kaya dengan sumber flora dan fauna yang masih belum diterokai sepenuhnya.

“Kita tak nak beranggapan bila datang ke Negeri Sembilan, mereka (pelancong) menggambarkan satu kawasan sahaja iaitu kawasan mandi manda di Port Dickson… sebetulnya masih ada kawasan-kawasan menarik di Luak Johol yang boleh diketengahkan,” katanya.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pada 12 April lepas mengumumkan projek ECRL akan disambung semula dengan kos lebih rendah susulan pemeteraian perjanjian tambahan (SA) di antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Menurut kenyataan itu, kos pembinaan Fasa 1 dan 2 ECRL kini dikurangkan kepada RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asalnya RM65.5 bilion.

Pembinaan ECRL berkenaan akan menyaksikan jajaran baharu iaitu Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Klawang- Bangi/Kajang-Putrajaya dan seterusnya Pelabuhan Klang.

Mohammed berkata sebagai pemerintah di Luak Johol, beliau bukan sahaja berperanan dalam soal adat dan agama tetapi juga berperanan dalam memacu pembangunan ekonomi setempat.

"Saya juga dalam usaha untuk memajukan tanah adat yang terbiar untuk dijadikan kawasan pertanian sebagai contoh pada hari ini kita akan mengguna pakai tanah adat terbiar ini untuk dijadikan tanaman pokok tin dan pokok guarana.

“Selain itu, kita juga akan mengadakan kerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) dari segi menternak madu lebah kelulut dan ikan keli secara komersial dengan menggunakan teknologi tinggi,” katanya.

Katanya selain USM, terdapat beberapa universiti tempatan antaranya Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menyatakan minat untuk berkolaborasi bersama pihaknya untuk bersama-sama membangunkan Luak Johol.

“Sebelum ini profesor-profesor yang mahir telah turun melihat sendiri dan menyatakan bahawa Luak Johol adalah satu kawasan pertanian yang dipenuhi dengan flora dan fauna yang boleh kita terokai untuk dikomersialkan.

“Kita ada kawasan-kawasan yang sudah agak terkenal tetapi kita harus menjual produk pelancongan ini terutamanya menjelang tahun 2020 iaitu Tahun Melawat Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA  


 

   

 
 
     
   
 

Penggiat industri pelancongan Johor telah diberi taklimat berhubung koronavirus - Exco

 
     

Pengusaha cendawan turut terjejas akibat cuaca panas

 
     

Tapak relau peleburan besi purba ditemukan di Kedah

 
     

Usah biarkan warisan di Kota Bukit Supai terus sepi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel