Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kelibat buaya: Perhilitan Selangor pantau Sungai Renggam


Tarikh kemaskini: 16/06/2019





SHAH ALAM, 16 Jun (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor memantau kawasan sekitar kunci air Sungai Renggam di Seksyen 17 di sini susulan menerima aduan  daripada orang awam yang ternampak kelibat seekor buaya.

Pengarah Perhilitan Selangor, Haidar Khan Mokbolhassan berkata aduan berkenaan diterima secara rasmi menerusi talian ‘hotline’ jabatan itu sekitar pukul 2 petang ini namun gambar kelibat buaya berkenaan tular di media sosial komuniti setempat sejak dua hari lepas.

“Kami sentiasa menyemak aduan orang ramai sama ada melalui media sosial atau aduan rasmi. Sejak gambar kelibat reptilia berkenaan dikatakan diambil di kunci air Sungai Renggam di sini tular, kami telah pergi memantau kawasan tersebut beberapa kali.

“Bagaimanapun, tiada kelibat haiwan itu ditemukan pasukan kami. Buat masa ini, saya tidak boleh mengesahkan memang ada buaya atau tidak di kawasan tersebut dan orang ramai di sekitarnya tidak perlu gusar. Kami juga sedang menyiasat sama ada benarkah gambar buaya itu diambil di Sungai Renggam,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

Namun katanya, disebabkan keadaan air Sungai Renggam yang meningkat sejak tiga hari lepas susulan hujan lebat, beliau tidak menolak kemungkinan ada buaya melolos masuk dan keluar di sungai tersebut apabila pintu kunci air itu dibuka.

Tambah Haidar Khan, Sungai Renggam merupakan jajaran anak sungai kepada Sungai Klang yang dipisahkan melalui kunci air tersebut dan tidak mustahil untuk buaya berada di kawasan itu memandangkan Sungai Klang diakui sebagai habitat kepada reptilia berkenaan.

Beliau berkata buat masa ini, pihaknya akan terus memantau kawasan tersebut terutama pada waktu kebiasaan buaya timbul di tebing untuk ‘memanaskan’ badan namun tiada keperluan untuk memasang perangkap di sungai berkenaan.

“Kami akan terus pantau lokasi ini demi keselamatan orang ramai dan juga kebajikan haiwan itu sendiri. Jika didapati buaya itu mengancam nyawa manusia, kita akan pasang perangkap, tapi jika dikatakan nampak kelibat saja, tidak perlu pasang perangkap kerana sungai memang habitat semulajadi reptilia itu,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Penggiat industri pelancongan Johor telah diberi taklimat berhubung koronavirus - Exco

 
     

Pengusaha cendawan turut terjejas akibat cuaca panas

 
     

Tapak relau peleburan besi purba ditemukan di Kedah

 
     

Usah biarkan warisan di Kota Bukit Supai terus sepi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel