Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

30 kawasan di Perak berisiko tinggi penyalahgunaan dadah oleh pelajar


Tarikh kemaskini: 17/06/2019





IPOH, 17 Jun (Bernama) -- Sebanyak 30 kawasan di negeri ini dikenal pasti berisiko tinggi dengan masalah penagihan dadah dalam kalangan pelajar sekolah, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak Wong May Ing.

Beliau berkata daripada 30 kawasan itu, sebanyak tujuh terletak di daerah Larut, Matang dan Selama; Kinta dan Kerian (lima); Manjung dan Batang Padang (tiga); Kuala Kangsar dan Perak Tengah (dua), manakala masing-masing satu di Hilir Perak, Hulu Perak dan Kampar.

Menurut Wong, hasil pemeriksaan saringan air kencing ke atas 3,090 pelajar di Perak pada tahun lepas, seramai 110 daripadanya positif dadah.

“Jumlah ini amat membimbangkan dan semua pihak perlu bekerjasama bagi menangani masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar di negeri ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini. Turut hadir Timbalan Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perak Ahamad Faadzil Alang.

Katanya kerajaan negeri melalui AADK telah melaksanakan kempen memerangi dadah selain bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) ke arah membangunkan jati diri pelajar.

"Kerajaan Negeri melalui Bajet 2019 telah meluluskan peruntukan sebanyak RM750,000 bagi menyokong program-program antidadah sama ada yang dilaksanakan agensi kerajaan, NGO dan komuniti setempat," katanya.

Katanya sempena Hari Anti Dadah Sedunia pada 26 Jun ini, kerajaan negeri melalui AADK dengan kerjasama Persatuan Belia Kristian Malaysia dan Charis Youth Centre akan mengadakan program Jelajah Antidadah selama 10 hari bermula 19 Jun ini.

Wong berkata program jelajah itu melibatkan sebanyak 18 sekolah menengah yang akan menjalankan pelbagai bentuk persembahan termasuk tarian, drama dan bentuk komik bagi menarik perhatian pelajar sekolah.

Orang ramai juga diminta menyalurkan maklumat mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan masing-masing dengan menghubungi talian 03-89112233 atau 0196262233.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     

Sultan Nazrin rasmi Ekspo Antarabangsa Perak 2019

 
     

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel