Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lelaki ditahan bersama syabu bernilai RM260,000


Tarikh kemaskini: 17/06/2019





GEORGE TOWN, 17 Jun (Bernama) -- Kehidupan mewah seorang penganggur sejak tiga bulan lepas hasil penglibatannya dalam pengedaran dadah berakhir apabila dia ditahan polis bersama 4.6 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM260,000 Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang hari ini berkata lelaki berusia 21 tahun itu ditahan di dalam tandas awam di Jelutong, di sini kira-kira pukul 3.45 petang hasil risikan dan intipan dijalankan sejak minggu lepas.

"Polis merampas 101 gram syabu bernilai RM15,150 bersama lelaki itu dan susulan penahanan suspek, kami menyerbu rumah sewanya di Sungai Ara, Bayan Lepas dekat sini dan merampas 4.5 kilogram syabu bernilai RM244,850 di situ," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata polis turut merampas alat penimbang digital, plastik lutsinar dan beberapa peralatan untuk membungkus dadah serta siasatan mendapati lelaki itu mendapatkan bekalan dadah sebelum membungkus semula dan menjual kepada pelanggan sekitar negeri ini.

Katanya berdasarkan siasatan lelaki itu merupakan anggota sindiket pengedaran dadah dan dia dipercayai terlibat dalam kegiatan berkenaan sejak tiga bulan lepas.

Che Zaimani berkata susulan penahanan lelaki itu, polis turut merampas wang tunai bernilai RM2,000 dan menyita sebuah kereta jenis Toyota Vios serta motosikal jenis Yamaha 135LC milik suspek.

"Pihak polis percaya lelaki itu tidak bergerak bersendirian dan kami masih memburu rakan-rakan sindiket pengedaran dadah suspek, dipercayai mereka berada sekitar negeri ini," katanya.

Katanya lelaki yang belum berkahwin dan positif dadah itu direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah.

Beliau berkata dadah yang dirampas daripada lelaki itu boleh digunakan oleh seramai 23,475 penagih jika ia terlepas di pasaran.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     

Sultan Nazrin rasmi Ekspo Antarabangsa Perak 2019

 
     

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel