Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Malayan Cultural World Penang dapat pengiktirafan MyTQA


Tarikh kemaskini: 17/06/2019





GEORGE TOWN, 17 Jun (Bernama) -- Persembahan Silap Mata Malayan Cultural Magic World Penang menjadi produk terbaharu industri pelancongan di Pulau Pinang ini untuk memperoleh persijilan Jaminan Kualiti Menyeluruh Malaysia (MyTQA), kata Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Muhammad Bakhtiar Wan Chik hari ini.

Katanya pengiktirafan ini dapat dijadikan sebagai batu loncatan kepada Magic World Penang untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan dengan menjadikan kepuasan pelanggan sebagai satu keutamaan.

“Pengiktirafam MyTQA ini jelas menunjukkan bahawa Pulau Pinang begitu komited untuk menambah satu lagi daya tarikan pelancong yang mampu menjana ekonomi negeri dengan lebih positif,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persembahan itu di sini.

Katanya adalah menjadi harapan MOTAC agar industri pelancongan secara keseluruhannya terus berkembang dengan memberi tumpuan dalam menyediakan perkhidmatan yang lebih berkualiti, kebersihan, keselamatan serta mempunyai pekerja yang berpengetahuan dalam mempromosikan Malaysia di mata dunia.

“Saya memuji inovasi yang dipaparkan di sini khususnya dalam aspek penggunaan teknologi tinggi seperti Augmented Reality (AR) yang dapat mencipta pengalaman yang menyeronokkan untuk pengunjung dari segenap lapisan umur,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Operasi Ghost Museum, Magic World, Ice Cafe dan Persembahan Silap Mata Malayan Cultural, Desmond Low berkata kerjasama erat di antara MOTAC dan Tourism Malaysia mampu menarik lebih ramai pengunjung terutamanya pelancong luar untuk berkunjung ke Magic World yang terletak di Lebuh Victoria, dekat sini.

“Kerjasama ini sudah tentu dapat memperluaskan lagi cabang pasaran dalam industri pelancongan khususnya yang ternyata dapat melonjak industri bukan sahaja pasaran luar tetapi juga pasaran domestik,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa pihaknya akan sentiasa menyokong agensi pelancongan dengan menawarkan kadar tiket yang menarik dan berpatutan untuk dijual di platform masing-masing sama ada melalui penjualan tiket secara atas talian mahupun di kaunter.

Pengunjung boleh merasai sendiri pengalaman menyaksikan Persembahan Silap Mata Malayan Cultural pada setiap hari Isnin sehingga Ahad yang mempunyai tiga sesi pertunjukan iaitu pada pukul 12 tengah hari, 2.30 petang dan 5.00 petang.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     

Sultan Nazrin rasmi Ekspo Antarabangsa Perak 2019

 
     

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel