Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Mahkamah Persekutuan tetap 7 Ogos dengar rayuan Najib gugurkan Sri Ram sebagai ketua pendakwaan


Tarikh kemaskini: 17/06/2019





 

PUTRAJAYA, 17 Jun (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan menetapkan 7 Ogos ini untuk mendengar rayuan Datuk Seri Najib Razak untuk menggugurkan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwaan dalam kes-kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dihadapinya.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Ahmad Akram Gharib memberitahu pemberita bahawa pihak pendakwaan dan pembelaan dalam kes berkenaan juga diarahkan supaya mengemukakan hujahan masing-masing sebelum 24 Julai.

Kes berkenaan ditetapkan untuk pengurusan kes dihadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Azniza Mohd Ali dalam kamarnya hari ini. Peguam Sarah Abishegam mewakili Najib.

Pada 1 Mac lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk menggugurkan Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes beliau melibatkan 1MDB.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, yang terdiri daripada Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Lau Bee Lan, kemudiannya memutuskan bahawa perkara itu tidak boleh dirayu mengikut Seksyen 50 (1) dibaca bersama Seksyen 3 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Anggota Parlimen Pekan itu menghadapi empat pertuduhan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd, No 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, antara 2011 dan 2014. Mahkamah Tinggi menetapkan 19 Ogos bagi perbicaraan kes-kes 1MDB  yang dihadapi Najib.

Sementara itu, dua perkara yang dikemukakan Najib berkaitan kes SRC International Sdn Bhd yang dihadapinya juga telah ditetapkan secara berasingan untuk pengurusan kes hari ini di hadapan Azniza.

TPR Muhammad Izzat Fauzan berkata Mahkamah Persekutuan menetapkan 4 Sept untuk mendengar permohonan semakan Najib terhadap penarikan perintah untuk menangguhkan sementara perbicaraan kes SRC International dan juga mengenai bekas perdana menteri untuk menangguhkan perbicaraan di Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata mahkamah juga menetapkan 12 Julai ini untuk pengurusan kes bagi perkara berkenaan.

Pada 27 Mac tahun ini, panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan diketuai bekas Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum (kini bersara) membatalkan perintah penangguhan prosiding yang diberikan Mahkamah Rayuan kepada Najib sehingga selesai rayuannya berhubung perkara interlokutori.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraannya di Mahkamah Tinggi di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Sementara itu, rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mengetepikan tujuh pertuduhan berkaitan SRC International telah ditetapkan untuk pengurusan kes pada 12 Julai.

Muhammad Izzat berkata perkara itu ditetapkan untuk pengurusan kes hari ini di hadapan Pendaftar Mahkamah Rayuan Datuk Norsharidah Awang.

 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

U Mobile peruntuk RM300 juta tingkatkan keupayaan 5G - CEO

 
     

Lim: Kerajaan PH sedang berusaha tingkat pertumbuhan ekonomi negara

 
     

Peniaga ingkar arahan penggunaan produk biodegradasi dikompaun

 
     

PRK Kimanis: Pimpinan PH perlu fikir langkah menangi semula hati rakyat - Anwar

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel