Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

'Lawan tauke', Muthu cabar Karim untuk jawatan no.1


Tarikh kemaskini: 17/06/2019





KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Persaingan merebut jawatan nombor satu dalam Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) boleh diibaratkan ‘murid lawan guru’ apabila Datuk Karim Ibrahim dicabar oleh timbalannya Datuk S.M. Muthu pada pemilihan badan induk olahraga negara, 30 Jun ini.

Selepas pencalonan ditutup pada jam 5 petang tadi, Karim, 63, presiden selama dua penggal berturut-turut, menerima tiga pencalonan iaitu Perak, Kelantan dan Melaka.

Muthu, yang juga presiden Persatuan Olahraga Selangor, menerima dua pencalonan daripada Selangor dan Perlis serta menjadi timbalan presiden selama dua penggal mulai 2014.

Ahli perniagaan itu, bagaimanapun, menolak pencalonan untuk mempertahankan jawatan timbalan ptresidennya.

Kertas pencalonan dibuka oleh pengerusi panel bebas pemilihan KOM, Datuk Sieh Kok Chi, yang juga bekas setiausaha agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Dalam pada itu, jawatan timbalan presiden akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara bekas presiden Datuk Seri Shahidan Kassim dan naib presiden, yang juga bekas ratu trek kebangsaan, Datuk Paduka Mumtaz Jaafar.

Bagi empat kerusi Naib Presiden, sebanyak lapan individu dicalonkan termasuk dua penyandang, iaitu Iyaru Muthusamy dan Datuk R. Annamalai. 

Seramai 39 perwakilan daripada 13 ahli gabungan layak mengundi pada pemilihan tersebut sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (OCM), di sini.

 Bercakap kepada pemberita, Karim berkata beliau  yakin dapat mempertahankan jawatannya untuk penggal ketiga berturut-turut dan terkejut dengan tindakan Muthu untuk mencabarnya.

 "Memang dari awal saya dah beritahu bahawa pertandingan ini terbuka untuk semua...tetapi saya terkejut apabila rakan (Muthu) yang saya bawa masuk (ke KOM) ini mahu menentang saya.

“Kami memang kawan baik, kami masih ada masa lagi, kita boleh bincang, runding dan fikir balik untuk kebaikan olahraga negara,” katanya.

"Saya serahkan kepada perwakilan untuk memilih pucuk kepimpinan KOM, saya tak pernah kalah dalam pemilihan KOM," katanya yang pernah menjadi timbalan presiden lebih 10 tahun. 

Sementara itu, Muthu berkata keputusan bertanding jawatan presiden adalah atas desakan dan sokongan penyokongnya yang mahu melihat perubahan dalam KOM.

"Memang Datuk Karim beri perkhidmatan baik kepada KOM, terima kasih untuk itu. Jangan salah faham, ini bertujuan untuk perubahan, kita tunggu keputusan akhir daripada ahli gabungan," katanya. 

 

Senarai Calon:

Presiden

---------------

1. Datuk Karim Ibrahim 

2. Datuk S. M. Muthu 

 

Timbalan Presiden (Satu Jawatan)

----------------------------------------------

1. Datuk Seri Shahidan Kassim

2. Datuk Paduka Mumtaz Jaafar

 

Naib Presiden (4 Jawatan)

------------------------------------

1. Iyaru Muthusamy

2. Datuk R Annamalai

3. William Ling

4. Josephine Kang

5. Mohamad Awang

6. Rajemah Sheikh Ahmad

7. V. Mathivanan

8. Fadzil A Bakar

 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Jumlah pendaki Gunung Kinabalu meningkat tujuh peratus

 
     

Malaysia harus berkembang pacu usaha ke arah kelestarian masa depan - Sultan Nazrin

 
     

Polis tahan lelaki dakwa Nora Anne dirogol Orang Asli

 
     

Terima keputusan Kabinet lanjut lesen Lynas

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel