Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

The LOA Centre bangunkan aplikasi 'Reset App'


Tarikh kemaskini: 18/06/2019





SEREMBAN, 18 Jun (Bernama) -- The LOA Centre (M) Sdn Bhd (The LOA Centre) dengan kerjasama REC Studios Enterprise membangunkan aplikasi dipanggil 'Reset App' untuk menggalakkan pengguna telefon pintar untuk berfikiran lebih positif.

Pengarah Urusan The LOA Centre A. Sivapragasam berkata untuk menjadi seorang yang gembira, fikiran positif adalah amat penting.

"Jadi, apa yang kita telah hasilkan ialah sejenis aplikasi dipanggil 'Reset App' yang digunakan secara percuma di mana ia memberi kita peluang untuk memperlahankan cetusan dan tindak balas. Selalunya bila kita ada cetusan, kita akan bertindak balas terlampau cepat dan ini menghasilkan keputusan yang tidak betul.

"Biasanya, dalam keadaan kemurungan ramai yang membuat keputusan segera dan tindakan ini adalah sesuatu yang salah. Jadi, kalau ada masa mereka buat cetusan dan fikir sejenak iaitu ada cara lain atau tidak sebelum membuat sesuatu. Dalam aplikasi ini anda boleh meluahkan perasaan anda tanpa orang lain membuat komen iaitu dengan memberi sokongan kepada seseorang yang menghadapi masalah," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran aplikasi 'Reset App' oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan kebajikan negeri Nicole Tan Lee Koon di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata menerusi aplikasi ini juga orang ramai boleh mengukur tahap kegembiraan mereka pada setiap hari.

Katanya tujuan aplikasi 'Reset App' adalah untuk menangani kemurungan.

"Dengan 'Reset App' ini kami telah menjalankan satu konsep lingkaran kebahagiaan di mana sekumpulan sepuluh pengguna boleh berbincang dan berkongsi apa yang mereka tulis dalam aplikasi tersebut. Di sini mereka juga meluahkan perasaan mereka kerana kegagalan untuk meluahkan perasaan menyebabkan mereka memendamkan perasaan dan sikap ini menghasilkan kemurungan.

"'Reset App' ini telah dibangunkan sejak setahun lalu dan setakat ini kita sudah ada hampir 5,000 muat turun dan harapan kami supaya ia bergerak lebih baik lagi. Sesiapa yang menggunakan aplikasi ini, kita jemput mereka menyertai lingkaran kebahagiaan dan dalam masa yang sama kita telah menubuhkan Kelab Masyarakat Minda Positif Negeri Sembilan. Kita mulakan aplikasi ini di Negeri Sembilan dahulu dan akan dikembangkan ke negeri-negeri lain secara berperingkat-peringkat," katanya.

Sivapragasam berkata The LOA Centre adalah sebuah syarikat yang banyak mengendalikan kursus dan latihan minda positif dan 'Reset App' adalah salah satu kaedahnya.

Sementara itu, Tan berkata menerusi 'Reset App' ini beliau berharap Negeri Sembilan akan menjadi negeri pertama untuk mencapai status negeri gembira.

"Saya amat tertarik dengan 'Reset App' ini kerana ia secara tidak langsung menggalakkan individu untuk membina komuniti yang bersifat positif. Mengikut kajian sekarang kemurungan sudah naik mendadak di mana daripada tiga orang, seorang ada kemurungan. Jadi, saya nampak aplikasi ini akan membantu untuk menangani kemurungan.

"Sehubungan itu, saya harap orang ramai akan 'download' (memuat turun) aplikasi ini dan kita jadikan Negeri Sembilan sebagai negeri yang pertama mencapai status negeri gembira. Saya juga akan memohon agar aplikasi ini diperluaskan kepada jabatan dan agensi kerajaan di negeri ini kerana 'Reset App' ini juga sesuai untuk semua lapisan masyarakat," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kerajaan PH akan terus laksana polisi beri manfaat pada rakyat

 
     

Seramai 70 peserta sertai Raleigh Borneo Expedition 2019

 
     

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel