Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

MCHB peruntuk RM2 juta bayar tunggakan tiga bulan gaji kakitangan PHM


Tarikh kemaskini: 18/06/2019





SEREMBAN, 18 Jun (Bernama) – Pemaju hartanah Matrix Concepts Holdings Berhad (MCHB) hari ini memperuntukkan sebanyak RM2 juta kepada Pusat Hemodialisis Mawar (PHM), bagi membayar tunggakan tiga bulan gaji kakitangan pusat perubatan itu.

Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan MCHB Datuk Lee Tian Hock berkata ia susulan pembelian 51 peratus saham dari Sendi Hartamas Sdn Bhd (SHSB) iaitu anak syarikat milik penuh Intelek Ceria Sdn Bhd, yang juga pihak pengurusan baharu pusat perubatan berkenaan, pada Jumaat lepas.

“Secara peribadi saya sedar masalah akut yang dihadapi PHM terutama tunggakan gaji kakitangan. Beberapa pembekal juga mengugut hendak berhenti menghantar bekalan barangan ‘consumables’ ke cawangan-cawangan dialisis.

“Saya ingin memaklumkan bahawa saya akan memberikan wang pendahuluan peribadi sebanyak RM2 juta kepada PHM untuk membayar gaji kakitangan yang tertunggak sehingga Mei 2019. Pusat Perubatan NSCMH akan menghulurkan RM400,000 wang pendahuluan kepada PHM untuk melangsaikan hutang-hutang tertunggak kepada pembekal barangan ‘consumables’ untuk 11 cawangan dialisis,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau yang juga Presiden Pusat Perubatan NSCMH berkata pembayaran gaji kepada 256 kakitangan PHM itu akan dibuat pada Khamis ini.

Dalam pada itu, Lee turut menjelaskan SHSB kini dalam proses membuat permohonan lesen untuk mengendalikan pusat perubatan itu yang dibatalkan pada 15 Jan lepas oleh Kementerian Kesihatan Malaysia selepas didapati melanggar ketetapan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586].

"Sebaik sahaja kita mendapat surat ‘tiada halangan’ daripada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan nanti, SHSB akan mengemukakan permohonan baharu lesen operasi kepada Kementerian Kesihatan... surat ‘tiada halangan’ itu adalah syarat penting kerana tanah di mana terletaknya kemudahan itu adalah milik kerajaan,” katanya.

Beliau menambah SHSB akan mengambil alih semua liabiliti PHM yang dianggarkan berjumlah RM32 juta selepas lesen diluluskan.

“Sebagai balasan, PHM akan membenarkan SHSB hak untuk menggunakan premis berkenaan secara sewa pajak untuk tempoh 30 tahun akan datang dengan kadar faedah empat peratus setahun dan bagi tempoh 10 tahun pertama, SHSB akan membayar PHM RM100,000 sebulan untuk bayaran sewa pajak premis. Bayar sewa pajak itu akan dinaikkan ke RM115,000 sebulan bagi tempoh 10 tahun berikutnya dan RM132,000 untuk 10 tahun selepas itu,” kata beliau.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50

 
     

Lexis Hibiscus Port Dickson dinamakan tempat perkahwinan terkemuka di dunia

 
     

Ibu berpantang harungi banjir bersama bayi berusia 15 hari

 
     

JAS Negeri Sembilan sita kilang disyaki lepaskan enap cemar minyak hitam terpakai

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel