Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

42 warga asing termasuk seorang kanak-kanak berumur setahun ditahan imigresen Selangor


Tarikh kemaskini: 18/06/2019





SHAH ALAM, 18 Jun (Bernama) -- Jabatan Imigresen Selangor menahan 42 warga asing termasuk seorang kanak-kanak lelaki berumur setahun dalam empat operasi berasingan di Ampang dan Klang, semalam.

Pengarahnya, Mohamad Shukri Nawi berkata operasi selama sembilan jam bermula 5.30 petang itu menyasarkan tiga lokasi di Ampang iaitu sebuah pasar raya, premis snooker serta pusat hiburan keluarga selain satu unit kediaman di Klang yang dipercayai disewa oleh warga asing.

Beliau berkata dalam operasi pertama di pasar raya, sebanyak 18 warga asing termasuk seorang kanak-kanak yang merupakan pekerja serta pelanggan di situ ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

“Semasa operasi di premis snooker pula, kesemua warga asing di situ cuba melarikan diri sehingga ada yang bersembunyi di dalam peti sejuk premis namun tindakan pantas anggota berjaya mengepung kawasan berkenaan dan menahan 20 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen.

“Dalam lokasi seterusnya di pusat hiburan keluarga, tiga wanita warga asing ditahan kerana dipercayai bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO) manakala operasi di sebuah unit kondominium di Klang pula, hanya seorang warga asing ditahan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata 42 warga asing yang ditahan terdiri daripada 21 warga Indonesia, Myanmar (10), Bangladesh (4), Vietnam (3), Pakistan (1), India (2) dan Sri Lanka (1).

Katanya, kesemua warga asing berkenaan yang berumur setahun hingga 54 tahun itu direman selama 14 hari di Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut.

Menurutnya lagi, kesemua mereka disiasat dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah, Seksyen 15(1)(c) akta yang sama atas kesalahan permit tamat tempoh dan Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas.

--BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel