Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pengurangan eksport getah tidak dorong harga naik dengan ketara - Top Glove


Tarikh kemaskini: 18/06/2019





KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Top Glove Corporation Bhd percaya pengurangan eksport getah oleh pengeluar utama dunia, bermula April tahun ini, tidak akan mendorong harga komoditi itu mencatatkan kenaikan ketara.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Tan Sri Lim Wee Chai berkata ini kerana harga susu getah asli telah mencecah harga munasabah kira-kira RM5 sekilogram ketika ini, meningkat lebih 40 peratus daripada RM3.50 sekilogram dicatatkan pada akhir 2018.

Beliau berkata langkah pengurangan untuk meningkatkan harga hanya akan berkesan sekiranya harga getah adalah rendah, berikutan negara pengeluar getah yang lain seperti Vietnam, Kemboja, India, Sri Lanka dan China akan mengambil peluang daripada harga baik ketika ini untuk meningkatkan bekalan dan eksport mereka.

"Tetapi bagi kami, walaupun mereka menaikkan harga getah, ia masih  okay bagi kami, kerana kami akan buat pelarasan harga jualan dalam tempoh dua bulan lagi," katanya pada sidang media mengenai keputusan syarikat itu bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Mei, 2019 (3Q 2019) di sini, hari ini.

Dilaporkan tiga pengeluar utama dunia -- Thailand, Indonesia dan Malaysia -- bersetuju mengurangkan eksport getah asli sebanyak 240,000 tan dari April hingga Julai tahun ini bertujuan untuk meningkatkan harga komoditi itu.

Sementara itu, ditanya sama ada permintaan terhadap sarung tangan vinyl dijangka merosot disebabkan bekalan berlebihan dari China di tengah-tengah perang perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS), Lim mengakuinya dan berkata China menyumbang lebih 50 peratus eksport sarung tangan vinyl dunia.

Untuk mengurangkan impaknya ke atas syarikat, beliau berkata Top Glove telah mengembangkan pengeluaran sarung tangan vinyl ke Vietnam, yang kos pengeluarannya akan lebih rendah dan pihaknya juga menikmati faedah dari segi cukai eksport dari Vietnam ke AS dan Eropah.

"Kilang masih dalam pembinaan, dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada akhir 2020," katanya.

Berhubung prospek, Lim berkata syarikat akan terus mengembangkan operasinya untuk memenuhi permintaan sarung tangan global, yang diunjurkan mencatatkan pertumbuhan sekurang-kurangnya 10 peratus setahun.

Beliau juga mengunjurkan syarikat akan mencatat pendapatan lebih baik pada 4Q 2019, susulan syarikat telah membuat pelarasan harga jualan purata sarung tangannya.

"Impaknya akan hanya dapat dilihat pada suku akan datang, disebabkan selang waktu dalam mekanisme pelepasan kos bahan api dan penjanaan," katanya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pengeluar sarung tangan terbesar dunia itu berkata ia mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah iaitu sebanyak RM74.66 juta bagi 3Q 2019 daripada RM117.57 juta pada 3Q 2018, sebahagian besarnya disebabkan pergerakan naik ketara harga susu getah asli.

Perolehannya, bagaimanapun, naik kepada RM1.19 bilion daripada RM1.10 bilion sebelumnya dipacu peningkatan jumlah jualan.

Semasa urus niaga ditutup hari ini, saham Top Glove turun 2.6 peratus atau 13 sen kepada RM4.87, dengan 15.47 juta saham didagangkan.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     

PPIK - KPDNHEP bincang isu tarik kereta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel