Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tinjauan dalam talian untuk tingkat kualiti pendidikan Islam


Tarikh kemaskini: 18/06/2019





PUTRAJAYA, 18 Jun (Bernama) -- Pasukan Petugas Khas Pendidikan Islam (PPKPI) melaksanakan tinjauan dalam talian bagi melihat pandangan yang relevan dan sesuai untuk diambil kira bagi meningkatkan kualiti mata pelajaran Pendidikan Islam, kata Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK).

MPPK berkata PPKPI bersetuju melaksanakan satu tinjauan dalam talian melibatkan semua pemegang taruh Sistem Pendidikan Kebangsaan bagi mendapatkan input tambahan dalam usaha menambah baik mata pelajaran Pendidikan Islam.

Ia melibatkan tinjauan pandangan segenap golongan rakyat bagi mendapatkan sebarang maklum balas mengenai pengalaman mereka menjalani pembelajaran dan berinteraksi di Sekolah Kebangsaan (SK), katanya.

"Ia (tinjauan) bukanlah satu undian atau petisyen untuk memberikan sebarang tekanan yang tidak wajar,” kata MPPK dalam satu kenyataan hari ini berhubung kajian penambahbaikan mata pelajaran Pendidikan Islam oleh PPKPI.

PPKPI di bawah MPPK ditubuhkan pada 15 April lepas bagi melaksanakan kajian menyeluruh terhadap mata pelajaran Pendidikan Islam bagi tujuan penambahbaikan.

Selain mendapatkan input daripada pelbagai agensi dan bahagian di Kementerian Pendidikan, PPKPI telah dan akan mengadakan pelbagai sesi perbincangan dengan pakar pendidikan, wakil badan bukan kerajaan dan sesi libat urus dengan guru-guru mata pelajaran Pendidikan Islam.

MPPK berkata tarikh akhir untuk memberi pandangan atau cadangan kepada tinjauan dalam talian itu adalah pada 15 Julai depan.

Mereka yang ingin memberi pandangan atau cadangan boleh berbuat demikian dengan akses pautan https://forms.gle/SeVw82uoR2r8vnfp8.

"PPKPI komited dan jelas dengan tujuan dan keberhasilan utama kajian ini iaitu untuk memartabatkan mata pelajaran Pendidikan Islam di SK," kata MPPK.

 -- BERNAMA

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Kerajaan PH akan terus laksana polisi beri manfaat pada rakyat

 
     

Seramai 70 peserta sertai Raleigh Borneo Expedition 2019

 
     

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel