Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Hentikan melabel mereka yang hadapi masalah mental sebagai gila - Dzulkefly


Tarikh kemaskini: 18/06/2019





PETALING JAYA, 18 Jun (Bernama) -- Masyarakat perlu memainkan peranan bagi mengembalikan “sikap peduli” ke dalam budaya dan adat kita untuk membantu mereka yang menghadapi masalah kesihatan mental (MHC) tampil mendapatkan rawatan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata masyarakat boleh memulakan usaha itu dengan hentikan daripada melabel mereka yang menghadapi masalah kesihatan mental sebagai 'gila', 'senteng', 'tiga suku' dan pelbagai istilah yang mengaibkan yang mendorong mereka menjauhi daripada mendapatkan bantuan dan rawatan.

"Pemencilan dan dibuang oleh keluarga dan rakan-rakan adalah perkara biasa. Keadaan ini memberi kesan buruk terhadap masyarakat kerana tiada siapa yang mahu membantu, tetapi sebaliknya semua orang mudah menilai, secara hipotesis.

"Kita mesti secara komuniti menangani cabaran kesihatan dan stigma yang menghantui mereka yang mengalami masalah kesihatan mental hari demi hari," katanya dalam ucaptama pada Persidangan Pengalaman Kesihatan Mental 2019, di sini hari ini.

Dr Dzulkefly berkata penyelidikan menunjukkan tiga kecenderungan tertentu yang wujud terhadap mereka yang menghidap masalah itu, yang pertama adalah ketakutan dan penyisihan, yang kedua autoritarianisme dan kebaikan yang terdapat niat positif tetapi sebaliknya menyebabkan mereka yang menghidap cabaran mental dipinggirkan.

Untuk menangani cabaran ini, beliau berkata Kementerian Kesihatan telah menyediakan perkhidmatan kesihatan mental melalui empat institusi mental, 61 hospital, 25 Pusat Kesihatan Mental masyarakat (MENTARI), dan program penyaringan dan intervensi disediakan di 1,001 klinik kerajaan di seluruh negara.

Kementerian juga telah memperkenalkan dan melaksanakan program Komuniti Sinar Perkasa Negara (KOSPEN) serta latihan kesihatan mental sebagai sebahagian daripada program latihan pekerja, untuk memperkukuh lagi usaha yang dilakukan melalui program KOSPEN.

Dr Dzulkefly menambah untuk melenyapkan stigma ke atas mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental, pendidikan adalah pendekatan terbaik kerana ia boleh bermula di mana-mana peringkat.

"Melalui pendidikan, kita dapat menyebarkan pemahaman yang lebih baik mengenai cabaran yang dihadapi oleh mereka yang menghidap masalah mental, memupuk sokongan yang diperlukan dan membendung diskriminasi dan pengabaian," katanya.

Masyarakat juga perlu mendekati mereka melalui penglibatan bagi melenyapkan stigma yang membelenggu mereka yang menghadapi masalah kesihatan mental, katanya.

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Cadang Pahang kenakan sewa tinggi kepada Lynas - ADUN Kemayan

 
     

UMT anjur majlis khas untuk graduan kehilangan ibu pada hari konvokesyen

 
     

Ahmad Zahid arah keluar RM17,953,185.21 bina bangunan Yayasan Akalbudi - saksi

 
     

Pandangan berbeza cadangan gantian hukuman mati mandatori

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel