mc4s4tKrJbg MAIWP bakal perkenal konsep penilaian murid terhadap guru
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

MAIWP bakal perkenal konsep penilaian murid terhadap guru


Tarikh kemaskini: 18/06/2019





KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bakal memperkenalkan konsep penilaian murid terhadap guru bertujuan menambah kualiti pembelajaran dan pengajaran di semua institusi pendidikan di bawah majlis berkenaan.

Pengerusi MAIWP Datuk Seri Syed Hussien AlHabshee berkata konsep penilaian itu akan dilaksanakan  Januari tahun depan. 

“Ia hanyalah penilaian yang ringkas iaitu setiap guru mata pelajaran akan dinilai dari skor 1 hingga 10 dan apakah hasil guru itu dapat, jadi biar murid-murid mereka sendiri memberi penilaian kepada guru.

“Ia adalah pertama kali akan dilakukan oleh sekolah di bawah MAIWP dan saya fikir perkara ini adalah yang terbaik, kita mahu menimbulkan minat pada murid untuk belajar sesuatu subjek, jadi guru perlu perkukuhkan pengajaran mereka,” katanya kepada pemberita selepas program Sambutan Hari Guru Peringkat MAIWP di sini hari ini.

Beliau turut berkata hasil penilaian berkenaan akan dikaji oleh sebuah jawatankuasa yang akan dibentuk oleh MAIWP.   

 “.. dan hasilnya kita akan berjumpa guru tersebut dan membantu mereka memperbaiki dan mengukuhkan penyampaian pengajaran mereka, jika hasilnya baik maka kita akan cuba perkenalkan kaedah ini di sekolah sekitar Wilayah Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, Syed Hussein turut mencadangkan beberapa hala tuju pendidikan di sekolah di bawah  MAIWP bagi merancakkan institusi berkenaan termasuklah mewujudkan sekurang-kurangnya lima buah tadika Islam secara komersial kepada golongan asnaf.

Di samping itu, menaiktaraf tahap persijilan Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) kepada diploma peringkat antarabangsa khususnya kepada lepasan pelajar yang menceburi bidang yang sama.

“Kita juga akan cuba untuk mengadakan pertandingan debat ala parlimen yang dibuat secara siaran langsung pada tahun ini untuk memperkasakan pelajar,” tambahnya.

Terdahulu, lebih 500 warga pendidik di semua institusi pendidikan di bawah MAIWP diraikan dalam sambutan hari guru.

Dalam majlis itu seramai 31 orang guru daripada tujuh buah institusi pendidikan menerima anugerah guru cemerlang bagi mengiktiraf jasa mereka dalam bidang pendidikan.

--  BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

FAMA rancang bangunkan tanah wakaf dengan tanaman durian

 
     

Kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut belum siap sepenuhnya - Chow

 
     

Geran usahawan hanya untuk yang benar-benar layak - Mohd Redzuan

 
     

Yong bercuti, beri tumpuan kepada perbicaraan kes rogol

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel