Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Alam Maritim jangka 30 peratus daripada nilai perolehan kontrak diiktiraf dalam tahun kewangan 2019


Tarikh kemaskini: 19/06/2019




SERI KEMBANGAN, 19 Jun (Bernama) -- Alam Maritim Resources Bhd menjangka 30 peratus daripada nilai perolehan kontraknya berjumlah RM990 juta akan diiktiraf dalam tahun kewangan semasa kumpulan yang berakhir pada 31 Dis, 2019, kata Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Azmi Ahmad.

Nilai perolehan kontrak itu terdiri daripada beberapa kontrak iaitu RM500 juta perkhidmatan dasar laut, RM250 juta pemasangan dan pembinaan luar pantai (OIC) dan baki RM240 juta kapal sokongan luar pantai (OSV).

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat, di sini, hari ini, beliau berkata kontrak tersebut akan menjadikan jadual syarikat itu penuh antara tempoh dua dan lima tahun. 

Ciri-ciri kontrak yang diperoleh, katanya, adalah petunjuk jelas peralihan tumpuan perniagaan syarikat itu daripada hanya sebagai penyedia OSV semata-mata kepada penyedia perkhidmatan marin bersepadu dengan memanfaatkan kepakarannya dalam OIC dan perkhidmatan dasar laut. 

"Strategi kumpulan adalah konsisten dengan prospek aktiviti jangka sederhana syarikat minyak utama, yang menunjukkan peluang amat besar bagi kepakaran OIC dan dasar laut memandangkan Malaysia memiliki banyak aset luar pantai, malahan sebahagiannya dengan operasi melebihi 35 tahun yang mana banyak yang telah mencecah fasa penghujung hayat mereka.

"Ini bermakna momentum aktiviti penamatan operasi di jangka meningkat dan ini akan menyediakan peluang bagi AMRB," katanya.

Sementara itu, kumpulan tersebut terus mengoptimumkan kumpulan kapalnya yang ketika ini berjumlah 39 unit dan merancang mengurangkan sembilan kapal. 

"Setakat ini empat kapal telah dijual dan kami berharap lima lagi kapal akan dilupuskan dalam tahun ini. 

“Kami mengurangkan bilangan kapal dan menumpukan kepada kapal tertentu seperti kapal sokongan pelantar dan kapal bekalan pengendalian utama,” kata Azmi.

Dalam tempoh empat tahun lepas, AMRB mencatatkan kerugian dengan kerugian bersih dalam suku pertama yang berakhir 31 Mac, 2019 berjumlah RM4.42 juta berbanding kerugian bersih RM11.37 juta dalam tempoh yang sama pada 2018.

Hasil pada suku pertama 2019 meningkat kepada RM27.61 juta berbanding RM21.44 juta sebelumnya.

"Walaupun AMRB masih mencatatkan kerugian pada suku pertama 2019, tetapi kerugian telah berkurangan. Kami berharap pada suku kedua dan seterusnya kami akan mencatatkan penambahbaikan,” katanya. 

--BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kedah nafi keluarkan watikah kurniaan Ahli Kehormat DiRaja

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort 448 orang

 
     

PGA9 rampas rokok putih bernilai RM750,000

 
     

Sambutan filem 'Garang - Aku Luar Biasa' mengenai atlet paralimpik kurang memberangsangkan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel