Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Perak minta lantik segera pengarah pendidikan negeri


Tarikh kemaskini: 19/06/2019





IPOH, 19 Jun (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak meminta Kementerian Pendidikan supaya mempercepatkan proses pelantikan pengarah pendidikan negeri memandangkan kekosongan jawatan itu telah berlarutan agak lama. 

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak termasuk Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung perkara itu.

“Jawatan ini belum diisi sejak lapan bulan lalu dan sudah tiba masanya kita mempercepatkan proses ini kerana sudah tentu timbalan pengarah tidak mampu untuk menjalankan (memangku) tugas pengarah begitu lama.

“Jadi diharapkan kementerian dapat mengambil tindakan segera,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan peruntukan kepada sekolah separuh bantuan kerajaan Perak di sini hari ini.

Menurut Ahmad Faizal, pihaknya telah menghantar nama calon bagi jawatan itu kira-kira dua bulan lepas dan hasil perbincangan, cadangan tersebut diterima, maka beliau berharap pelantikan dapat disegerakan. 

Jawatan Pengarah Pendidikan Perak disandang oleh Datuk Mat Lazim Idris sejak 5 Dis 2017 sebelum bersara wajib pada Oktober tahun lepas.

Mengulas mengenai pembelian 16 kereta Toyota Camry oleh Kerajaan Negeri Perak dengan harga keseluruhan kira-kira RM1.74 juta, Ahmad Faizal berkata keputusan itu bertujuan memelihara pentadbiran kewangan kerajaan negeri.

Beliau berkata pembelian aset untuk kegunaan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco) itu dilihat lebih menjimatkan berbanding mengeluarkan perbelanjaan membaiki kereta lama yang menuntut kos terlalu mahal.

“Kerajaan perlu menggunakan kereta kerana sering mengambil perjalanan jauh dan bukannya untuk dibanggakan. Terpulanglah kepada sesiapa yang tidak bersetuju tetapi keputusan ini dibuat demi kepentingan dan memudahkan (urusan) rakyat dan kerajaan,” katanya.

Kereta lama iaitu Proton Perdana untuk Exco yang dibeli pada 2014 semasa pentadbiran Barisan Nasional dilaporkan tidak lagi di bawah jaminan dan sering dihantar untuk dibaiki dengan kos penyelenggaraan yang mahal.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan negeri membelanjakan RM109,000 bagi setiap model Toyota Camry iaitu kira-kira RM90,000 lebih murah daripada harga runcit dengan pembelian langsung daripada syarikat pengeluar serta turut mendapat pengecualian cukai serta diskaun.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel