Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

UMS cipta sejarah tersenarai 1,000 universiti terbaik dunia


Tarikh kemaskini: 19/06/2019





KOTA KINABALU, 19 Jun (Bernama) -- Universiti Malaysia Sabah (UMS) mencipta sejarah baharu apabila buat pertama kalinya tersenarai dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2020 sebagai antara 1,000 universiti terbaik dunia.

Menerusi penarafan QS World University Rankings 2020 yang diumumkan hari ini, UMS disenaraikan pada kedudukan 801.

Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin berkata pencapaian itu adalah kejayaan terbaik dan amat membanggakan apatah lagi ia dicapai semasa ulang tahun ke-25 UMS.

UMS ditubuhkan pada Nov 1994 dan universiti berkenaan akan menyambut Jubli Perak pada tahun ini.

"Ini adalah hasil kerja keras, dedikasi dan ketabahan semua warga universiti khususnya dalam kalangan staf akademik. Ini merupakan satu langkah ke hadapan untuk merealisasikan visi UMS iaitu menjadi sebuah universiti berinovatif bertaraf dunia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

D Kamarudin berkata kejayaan itu juga sekali gus memotivasi dan memberi inspirasi kepada semua warga UMS untuk terus melonjakkan kejayaan dan pencapaian universiti pada masa akan datang.

"Kita akan terus berusaha untuk membangun dan memajukan UMS, antara lain ke arah peningkatan kecemerlangan global, dengan merujuk kepada Pelan Strategik Universiti. Tugas ini memerlukan komitmen dan usaha berpasukan dari semua warga UMS, dan setiap sumbangan adalah penting," katanya.

QS World University Rankings 2020 dinilai berdasarkan indikator (kriteria) tertentu iaitu Reputasi Akademik (40 peratus), Reputasi Majikan (10 peratus), Nisbah Staf Akademik-Pelajar (20 peratus), Jumlah Sitasi per Staf Akademik (20 peratus), Bilangan Staf Akademik Antarabangsa (lima peratus) dan Bilangan Pelajar Antarabangsa (lima peratus).

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan akan kaji penggunaan alat permainan yang mampu asah minda kanak-kanak

 
     

FAMA rancang bangunkan tanah wakaf dengan tanaman durian

 
     

Kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut belum siap sepenuhnya - Chow

 
     

Geran usahawan hanya untuk yang benar-benar layak - Mohd Redzuan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel