Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Beban kerajaan akan berkurangan sekiranya dana SRC di Switzerland tidak dibekukan - Saksi


Tarikh kemaskini: 19/06/2019





KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Seorang pegawai kanan di Kementerian Kewangan Malaysia  memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bahawa beban kerajaan untuk membayar semula hutang SRC International Sdn Bhd sebanyak RM4 bilion akan berkurang sekiranya akaun milik syarikat itu di sebuah bank di Lugano, Switzerland tidak dibekukan.

Afidah Azwa Abdul Aziz, 44, Timbalan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik, Kementerian Kewangan bersetuju bahawa jaminan kerajaan untuk hutang SRC sebanyak RM4 bilion dapat dikurangkan jika dana dalam akaun bank Switzerland milik syarikat itu yang dibekukan, dapat diperoleh. 

 Perkara ini dipersetujui saksi pendakwaan ke-41 berkenaan ketika disoal balas oleh peguam Harvinderjit Singh yang mewakili bekas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Harvinderjit: Sebagai satu dasar untuk kerajaan beri pinjaman SRC pada tahun 2015, 2016 dan 2017, kamu tahu bahawa Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah ada mengambil maklum wang itu (wang pinjaman daripada kerajaan sebanyak RM92 juta kepada SRC) yang akan digunakan untuk membawa pulang wang yang dibekukan dari Switzerland.

Afidah: Boleh ulang soalan?

Dalam sesi soal balas itu, saksi beberapa kali meminta peguam mengulangi beberapa soalannya. Peguam itu kemudiannya mengubah soalannya.

Harvinderjit: Salah satu dasar untuk kerajaan memberi pinjaman pada tahun 2015 dan 2016 kepada SRC International adalah untuk tujuan mendapatkan kembali wang di Switzerland? 

Afidah: Tidak, sebab utamanya adalah supaya Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) tidak mengisytiharkan Event of Default.

Terdahulu wanita itu  dalam  penyataan saksinya  memaklumkan sekiranya KWAP mengisytiharkan Event of Default, Kerajaan Malaysia selaku penjamin kepada SRC perlu menyelesaikan bayaran penuh pinjaman sebanyak RM4 bilion dalam masa 30 hari bekerja.

Harvinderjit: Tetapi, bukankah ini salah satu asas seperti yang dinyatakan dalam memorandum, bahawa ada tindakan yang diambil untuk membawa pulang wang dari Switzerland? 

Afidah: Ya, itu adalah antara asas pertimbangan. 

Harvinderjit: Dalam penyataan saksi anda, anda berkata kerajaan bertanggungjawab untuk pinjaman sebanyak RM4 bilion ini?

Afidah: Ya. 

Harvinderjit: Jadi, apabila wang itu (yang dibekukan dalam bank Switzerland) dikembalikan, tanggungjawab kerajaan juga akan berkurangan? 

Afidah: Ya. 

Terdahulu, ketika ditanya peguam itu sekiranya beliau mengetahui mengenai pertemuan antara Kementerian Kewangan, Peguam Negara Tommy Thomas dan Peguam Negara Switzerland pada Julai 2018 mengenai wang milik SRC yang dibekukan di Switzerland, saksi itu menjawab “tidak tahu”.

Najib, 66, didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Tiada penangguhan, perbicaraan 1MDB Najib kekal 19 Ogos

 
     

Undi 18: SPR adakan sesi libat urus dengan pihak berkenaan

 
     

Penubuhan KPSM inisiatif tingkatkan sosioekonomi pekebun kecil

 
     

Polis tidak berat sebelah siasat tuduhan Exco rogol pembantu rumah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel