Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

PPM Wilayah Dua rampas 1,590 rokok seludup, mercun dan bunga api bernilai lebih RM16,000


Tarikh kemaskini: 19/06/2019





JOHOR BAHRU, 19 Jun (Bernama) -- Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua merampas 1,590 paket rokok seludup serta sejumlah mercun dan bunga api bernilai lebih RM16,000, dalam serbuan di sebuah kedai runcit dan sebuah kedai menjual pakaian terpakai (bundle) di Kampung Melayu Majidee, di sini hari ini.

Komandernya ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata serbuan pada kira-kira 3.15 petang hingga 5 petang membabitkan tiga pegawai dan 14 anggota PPM Wilayah Dua itu, turut berjaya menahan tiga lelaki tempatan berumur antara 23 dan 39 tahun, yang dipercayai terlibat dalam penjualan dan pengedaran barangan terbabit.

"Hasil serbuan dan pemeriksaan lanjut menemui satu lubang khas di belakang premis tersebut (kedai runcit) yang bersambung dengan kedai menjual pakaian terpakai.

"Lubang tikus terbabit digunakan bagi mengaburi pihak berkuasa, untuk mendapatkan rokok seludup yang disimpan dalam stor di kedai menjual pakaian terpakai itu," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Khiu berkata kesemua rokok terbabit dianggarkan bernilai RM15,467 manakala mercun dan bunga api bernilai RM1,300.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

"Memang ada kaitan ketiga-tiga lelaki ini. Cara mereka hendak sembunyikan rokok haram ini licik, di mana rokok sah akan dipamerkan di rak (di kedai runcit), rokok haram sedikit disimpan dalam laci manakala stok rokok seludup dalam karton disimpan dalam stor di kedai lain (kedai menjual pakaian terpakai)," katanya.

Menurut Khiu, PPM Wilayah Dua amat komited untuk membanteras penjualan dan pengedaran rokok-rokok tidak sah, sama ada secara besar atau kecilan dan operasi berterusan akan dilancarkan dalam menangani isu berkenaan.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel