Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Keluarga mangsa culik Lahad Datu rayu bantuan


Tarikh kemaskini: 19/06/2019




SEMPORNA, 19 Jun (Bernama) -- Anggota keluarga nelayan yang menjadi mangsa culik di perairan Tambisan Lahad Datu semalam, merayu pihak berkuasa dan kerajaan Malaysia membantu usaha membebaskan nelayan-nelayan terlibat.

Nilba Usman, 27, isteri kepada Aslan Sapri, 25, berkata beliau hanya berharap suaminya tidak diapa-apakan kumpulan penculik itu dan apa yang penting baginya ialah, suaminya kembali ke pangkuan keluarga, dalam keadaan selamat

"Saya dan tiga anak yang masih kecil bergantung penuh kepada Aslan yang bekerja sebagai nelayan, untuk menyara keluarga. Saya mahu dia segera balik ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat," katanya ketika ditemui di Kampung Selamat di sini.

Nilba berkata suaminya menghubunginya kira-kira pukul 5 petang Isnin dan memberitahu dia serta beberapa nelayan lain, dalam perjalanan balik ke Semporna.

"Panggilan terakhir diterima daripada suami saya adalah memberitahu bot nelayan dinaiki rosak, di perairan berhampiran Felda Sahabat," katanya.

Beliau berkata dia dimaklumkan oleh adiknya yang menghubunginya kira-kira pukul 2 pagi semalam, bahawa suaminya telah diculik bersama sembilan lagi rakan nelayan lain, oleh sekumpulan lelaki bersenjata di perairan Felda Sahabat 9, Lahad Datu.

Katanya adiknya juga berada di bot itu dan antara yang terselamat tidak menjadi mangsa culik dalam kejadian itu.

Dalam pada itu, Suraidah Lallah, 22, isteri kepada Azmar Paisal, 25, berkata kali terakhir dia menerima panggilan daripada suaminya pada pukul 5 petang Isnin lepas, dan memberitahu dia dalam perjalanan balik ke Semporna.

Katanya dia bimbang akan keselamatan Azmar kerana sehingga hari ini belum menerima apa-apa perkembangan.

"Saya sangat sedih dan harap dia (suami) dapat balik ke pangkuan kami. Kami mengharapkan ada bantuan diberikan untuk membebaskan suami saya.

"Kami berharap pihak kerajaan Malaysia dan pasukan keselamatan dapat membantu usaha menyelamatkan suami saya yang bekerja sebagai nelayan untuk menyara keluarga kami," kata Suraidah yang mempunyai dua anak berusia setahun dan tiga tahun. 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan akan kaji penggunaan alat permainan yang mampu asah minda kanak-kanak

 
     

FAMA rancang bangunkan tanah wakaf dengan tanaman durian

 
     

Kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut belum siap sepenuhnya - Chow

 
     

Geran usahawan hanya untuk yang benar-benar layak - Mohd Redzuan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel