Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

MIDF Research kekalkan saranan 'neutral' subsegmen huluan O&G


Tarikh kemaskini: 20/06/2019





KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- MIDF Amanah Investment Bank Bhd Research (MIDF Research) hari ini mengekalkan saranan 'neutral' terhadap subsegmen huluan industri minyak dan gas (O&G) manakala subsegmen hiliran juga kekal pada 'positif.'

Dalam laporan prospek ekuiti bagi suku ketiga 2019, firma penyelidikan itu berkata ini berikutan jangkaan peningkatan perbelanjaan modal (capex) dalam usaha eksplorasi dan pengeluaran (E&P) luar pantai, pertambahan aktiviti luar pantai serta permintaan produk-produk petrokimia di peringkat global.

"Secara purata, adalah dianggarkan 30-40 peratus capex E&P diperuntukkan bagi tujuan penggerudian dan penyiapan manakala sekitar 15-20 peratus bagi usaha pengeluaran di peringkat dasar laut.

"Petronas juga menerusi pembabitannya dalam pasaran, telah menyatakan rancangan untuk meneruskan perbelanjaan modal pada 2019 dengan jumlah yang menyamai 2018 iaitu kira-kira RM55 bilion termasuk usaha menceburi asas sumber dan perniagaan baharu," katanya.

Petronas juga telah memeterai kontrak dengan kerajaan Sudan Selatan membabitkan usaha eksplorasi, pengeluaran dan penjualan minyak meliputi Blok Satu, Dua dan Empat di kawasan yang sebelum ini dikenali sebagai Negeri-Negeri Kesatuan.

Mengulas permintaan terhadap minyak mentah, MIDF Research juga yakin bahawa rantau Asia yang sedang pesat berkembang akan terus menjadi sumber utama permintaan itu dengan jangkaan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 6.3 peratus pada tahun ini.

"Pada 2019, permintaan minyak mentah dari China dijangka menyumbang sebanyak 12.8 peratus daripada jumlah global iaitu peningkatan sebanyak 2.4 peratus berbanding 2018.

"Malah, negara-negara Asia lain juga dijangka mencatat pertumbuhan permintaan minyak mentah yang lebih kukuh sebanyak 4.5 peratus pada tahun ini," katanya.

MIDF Research bagaimanapun menjangkakan permintaan daripada negara maju di Eropah kekal tidak berubah yang dianggarkan sebanyak 14.26 juta tong sehingga 14.30 juta tong sehari.          Firma penyelidikan itu turut menyemak turun harga unjuran minyak mentah Brent kepada US$70 setong pada tahun ini daripada US$71.6 setong pada 2018 berikutan jangkaan bahawa permintaan keseluruhan akan terus dijejaskan oleh pertikaian perdagangan Washington-Beijing yang berlanjutan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Nazrin, Tuanku Zara berangkat ke Pertandingan Pidato Diraja 2019

 
     

Tiada lagi pencemaran di Sungai Ulu Benut

 
     

Buluh, daun rumbia hasilkan replika tempua terbesar di Malaysia

 
     

KYP Advanced Skills dialukan dalam penubuhan De' Royal Azizah Culinary School

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel