Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

MCPF cadang PDRM tubuh unit khas kaunseling


Tarikh kemaskini: 20/06/2019




KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mencadangkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mewujudkan unit khas kaunseling di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri dalam usaha membantu anggota pasukan itu yang menghadapi masalah kesihatan mental. 

Naib Pengerusi Kanan MCPF Tan Sri Lee Lam Thye berkata PDRM turut disaran melatih lebih ramai anggota dalam bidang kaunseling agar mereka yang menghadapi masalah berkaitan mental dapat dikenal pasti dan dibantu di peringkat awal.

"Unit tersebut boleh dikembangkan manakala kemahiran ahlinya perlu ditingkatkan dengan bantuan pakar psikiatri dan kaunseling dari kementerian dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan. 

"Meskipun PDRM mempunyai Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) di setiap kontinjen, namun peranannya terlalu umum dan tidak mempunyai kepakaran dan pengkhususan terhadap masalah mental," katanya dalam satu kenyataan mengenai isu kesihatan mental warga PDRM.

Selain itu, bagi mengatasi masalah kesihatan mental dalam kalangan anggota PDRM, pasukan beruniform berkenaan juga disaran melaksanakan penilaian kesihatan mental untuk semua calon yang ingin menyertai pasukan itu serta anggota polis sedia ada bagi mengetahui tahap kesihatan mental mereka.

Menurut Lee, melalui penilaian itu punca-punca yang menyebabkan mereka berhadapan dengan tekanan perasaan juga dapat diketahui. 

"PDRM diharapkan mengambil langkah segera menangani isu kesihatan mental dalam kalangan anggotanya dengan kerjasama Kementerian Kesihatan serta agensi berkaitan," katanya. 

Dalam kes terbaharu melibatkan anggota pasukan beruniform itu, seorang anggota polis berpangkat Lans Korporal didakwa menembak diri sendiri apabila diperayai gagal mengawal tekanan selepas bertengkar dengan isterinya di Bintulu, Sarawak malam Selasa lepas.

Menurutnya, kes seumpama itu mungkin dapat dielak jika masalah anggota dikenal pasti di peringkat awal dan diberikan bimbingan kaunseling yang sesuai tanpa perlu ke hospital atau berjumpa pakar luar untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, intervensi di peringkat awal amat penting bagi mengelakkan anggota PDRM yang berhadapan masalah mental seperti tekanan perasaan melakukan tindakan di luar batasan.

"Namun untuk kes-kes serius dan berpanjangan, saya ingin tegaskan bahawa ia perlu dirujuk untuk rawatan psikiatrik di hospital. Saya juga berharap anggota PDRM yang mempunyai masalah supaya bersikap terbuka dan bersedia mendapatkan perkhidmatan kaunseling bagi mencegah perkara lebih serius," katanya.

Katanya Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador, sendiri telah memberi jaminan untuk menjaga kebajikan warga PDRM dengan memberikan suasana kerja dan tempat tinggal yang kondusif serta gaji yang setimpal dengan tugas mereka.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Nazrin, Tuanku Zara berangkat ke Pertandingan Pidato Diraja 2019

 
     

Tiada lagi pencemaran di Sungai Ulu Benut

 
     

Buluh, daun rumbia hasilkan replika tempua terbesar di Malaysia

 
     

KYP Advanced Skills dialukan dalam penubuhan De' Royal Azizah Culinary School

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel