Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Program bakat keselamatan siber untuk galak wanita kembali bekerja


Tarikh kemaskini: 20/06/2019




PUTRAJAYA, 20 Jun (Bernama) -- Golongan hawa yang berminat untuk kembali bekerja dengan membangunkan bakat keselamatan siber boleh berbuat demikian di bawah program Memperkasa Wanita dalam Pengurusan Risiko Siber.

Program yang ditawarkan menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan usaha sama strategik antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Sumber Manusia itu merupakan inisiatif untuk golongan wanita kembali bekerja.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata  program itu juga bertujuan menangani jurang bakat yang dihadapi industri keselamatan siber, yang mana sasaran untuk melahirkan 10,000 bakat menjelang 2020 daripada 7,000 sekarang.

Beliau berkata program itu memberi kelonggaran masa bekerja serta kemudahan penjagaan kanak-kanak supaya wanita dapat menyesuaikan diri dalam pasaran buruh yang mencabar.

"Terdapat pelbagai bentuk sokongan disediakan kepada para peserta seperti bimbingan mentor, latihan, elaun bulanan dan banyak lagi manfaat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program perintis Memperkasa Wanita dalam Pengurusan Risiko Siber, di sini hari ini.

Yeoh berkata adalah penting untuk menggalakkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja kerana laporan menyatakan 93 peratus wanita yang telah berhenti kerja berhasrat kembali, namun hampir 63 peratus menghadapi kesukaran berbuat demikian.

Menurutnya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berpotensi meningkat kepada RM9 bilion daripada RM6 bilion jika lebih ramai wanita mengisi tenaga kerja.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata program itu terbuka kepada wanita yang telah berhenti bekerja lebih daripada enam bulan dan mempunyai sekurang-kurangnya tiga tahun pengalaman dalam sektor korporat.

“Diharapkan peserta akan dapat memulakan kerjaya masing-masing dalam bidang ini pada Januari tahun depan,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Raja Perlis mahu pendakwah saudara baharu sentiasa lengkapkan ilmu

 
     

Profesionalisme pakar patologi negara diyakini

 
     

Polis akan panggil penganjur perhimpunan anti-Lynas

 
     

Bacaan IPU di Sri Aman kekal 'sangat tidak sihat'

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel