Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pertimbang pemberian rebat cukai untuk tarik ibu bapa ke kursus keibubapaan


Tarikh kemaskini: 20/06/2019





PUTRAJAYA, 20 Jun (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang menimbang inisiatif rebat cukai sebagai satu cara menarik minat ibu bapa menyertai kursus keibubapaan.

Timbalan Menterinya Hannah Yeoh berkata kementerian kini sedang dalam perbincangan dengan agensi berkaitan untuk mempertimbangkan pemberian rebat cukai sekiranya ibu bapa mendaftar untuk kursus keibubapaan.

“Bagi kementerian, kami ingin fokus kepada kemahiran keibubapaan. Kami sedang mencari cara bagaimana menarik ibu bapa menyertai kursus bagi memastikan ibu bapa Malaysia lebih bertanggungjawab,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan program Memperkasa Wanita dalam Pengurusan Risiko Siber di sini hari ini.

Yeoh juga mencadangkan supaya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memasukkan aspek keibubapaan dalam kurikulum sekolah memandu bagi meningkatkan pengetahuan berhubung amalan keselamatan penumpang kanak-kanak untuk mewujudkan kesederaan mengenai kanak-kanak yang ditinggalkan di dalam kereta sehingga menyebabkan kematian akibat strok haba.

Mengenai isu vaksinasi, beliau berkata walaupun terdapat banyak saranan meminta kerajaan mengenakan hukuman denda kepada ibu bapa yang tidak memvaksin anak mereka, masih ada ibu bapa yang tidak memvaksin anak dan mendedahkan mereka kepada risiko yang tidak sepatutnya.

Beliau juga mendesak seluruh rakyat supaya lebih sensitif kepada keselematan kanak-kanak dan melaporkan kepada pihak berkuasa apabila melihat ada kanak-kanak yang terdedah dengan apa-apa risiko.

Yeoh juga menyarankan agar masyarakat mengubah budaya ‘tidak apa’ khususnya apabila melibatkan golongan yang memerlukan seperti kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) untuk melindungi mereka daripada terdedah dengan pelbagai risiko.

“Ada begitu banyak keadaan yang mana golongan ini tidak dapat bersuara untuk mereka sendiri, dan mereka memerlukan bantuan daripada masyarakat untuk ‘berhenti, ambil berat dan bertanya’ serta melaporkannya kepada pihak berkuasa,” katanya.

Yeoh berkata demikian ketika mengulas beberapa kes yang melibatkan dera dan kematian kanak-kanak dan sebuah pusat jagaan warga emas di Seremban yang didakwa mengabaikan penghuninya serta didera sejak kira-kira dua tahun lepas.

Mengenai pusat jagaan warga emas di Seremban itu, Yeoh berkata siasatan menyeluruh oleh Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) masih berjalan, namun dimaklumkan berdasarkan laporan awal, nama pemilik pusat itu telah ditukar.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Nazrin, Tuanku Zara berangkat ke Pertandingan Pidato Diraja 2019

 
     

Tiada lagi pencemaran di Sungai Ulu Benut

 
     

Buluh, daun rumbia hasilkan replika tempua terbesar di Malaysia

 
     

KYP Advanced Skills dialukan dalam penubuhan De' Royal Azizah Culinary School

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel