Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Wanita mangsa kedua maut akibat keracunan metanol di Port Dickson


Tarikh kemaskini: 20/06/2019





PORT DICKSON, 20 Jun (Bernama) -- Seorang wanita tempatan meninggal dunia pada 8.36 pagi tadi ketika menerima rawatan di Hospital Port Dickson (PHD), akibat keracunan metanol.

Ini sekali gus menjadikan mangsa K. Rathika, 26, daripada Serting, Jempol sebagai mangsa kedua selepas seorang lelaki warga Myanmar berusia 27 tahun yang maut, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohammed dalam sidang media di sini, hari ini berkata dua mangsa lain yang turut keracunan metanol masih menerima rawatan di hospital yang sama dengan  seorang  daripadanya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri manakala seorang lagi stabil.

Beliau berkata selain itu, pihaknya turut dimaklumkan mengenai seorang lagi mangsa baharu, menjadikan kesemua lima mangsa akibat keracunan metanol setakat ini. 

Katanya, mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 50-an turut mendapat rawatan di HPD petang semalam sebelum memohon dipindahkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah untuk rawatan lanjut.

Mengenai kes berkenaan, Aidi Sham berkata melalui keterangan yang diambil daripada  mangsa,  minuman beralkohol berkenaan dibeli di sebuah kedai runcit di sekitar kawasan Lukut dan Chuah.

“Pemeriksaan di 19 premis telah dilakukan pada Rabu dan semalam. Pihak Jabatan Kesihatan Daerah telah merampas sebanyak 13 tin minuman beralkohol jenama yang diminum mangsa di sebuah premis di Lukut,” katanya.

Susulan itu, dua beranak berumur 50 dan 19 tahun ditahan hari ini pada pukul 12 tengah hari di Taman Indah, Lukut bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Polis telah menahan seorang perempuan 50 tahun bersama anak lelakinya berumur 19 tahun yang  disyaki  telah menjual minuman beralkohol kepada ke semua mangsa untuk membantu siasatan. Siasatan awal mendapati mereka (dua beranak berkenaan) telah membeli minuman ini dari seorang individu berusia 40-an dengan harga RM140 untuk 24 tin.

Mereka kemudian menjualkannya dengan harga RM7.50 satu tin. Jenama minuman beralkohol ini tiada dalam senarai dan kita akan mengemukakan permohonan reman esok,” katanya sambil menambah kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan. 

Aidi Sham berkata polis kini juga sedang mengesan suspek lelaki yang menjual minuman berkenaan.

“Saya menasihatkan kepada mereka yang mempunyai maklumat mengenai penjualan air minuman ini untuk membuat laporan di balai polis berdekatan dengan segera,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Kerajaan PH akan terus laksana polisi beri manfaat pada rakyat

 
     

Seramai 70 peserta sertai Raleigh Borneo Expedition 2019

 
     

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel