Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Dua lelaki ditahan, sembilan kotak minuman beralkohol dirampas dalam operasi bersepadu


Tarikh kemaskini: 21/06/2019





PORT DICKSON, 21 Jun (Bernama) -- Dua lelaki ditahan manakala sembilan kotak minuman beralkohol pelbagai jenis dirampas dalam operasi bersepadu ke atas premis perniagaan menjual minuman keras di sekitar  daerah ini susulan dua kes kematian akibat keracunan meminum minuman alkohol yang disyaki dibeli di kedai runcit di sini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohammed yang mengetuai operasi itu berkata kedua-dua lelaki berkenaan ditahan di sebuah premis perniagaan di sini kerana melakukan kesalahan dibawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu memiliki barang belum diluluskan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Premis atau kedai yang sama juga turut dikompaun oleh Pejabat Kesihatan Daerah atas kesalahan peraturan 11 (1)(j) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 kerana kesalahan label,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Operasi selama tiga jam yang bermula pukul 3 petang di 10 premis perniagaan yang menjual minuman beralkohol di sekitar kawasan Lukut dan Chuah itu disertai  46 anggota dan pegawai penguatkuasa.

Selain Ibu Pejabat Polis (IPD) Port Dickson, turut menyertai operasi berkenaan ialah anggota daripada Pejabat Kesihatan daerah, Majlis Perbandaran Port Dickson, JKDM daerah dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna daerah.

"Sejak Selasa lepas sehingga semalam, kita telah memeriksa sebanyak 19 premis di seluruh Port Dickson bagi memastikan jenama minuman yang beracun ini tidak dijual dipasaran. Operasi Bersepadu sebegini serta pemantauan berterusan akan dilakukan bersama agensi penguatkuasa berkaitan bagi memastikan penjualan minuman alkohol sebegini dapat dihentikan," katanya.

Semalam, seorang wanita tempatan meninggal dunia pada 8.36 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Port Dickson (PHD), akibat keracunan metanol, sekali gus menjadikan mangsa K. Rathika, 26, dari Serting, Jempol sebagai mangsa kedua selepas seorang lelaki warga Myanmar berusia 27 tahun yang maut, Isnin lepas.

Selain itu, dua daripada tiga mangsa lain yang turut keracunan metanol masih menerima rawatan di hospital yang sama dengan seorang daripadanya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri manakala seorang lagi stabil.

Seorang lagi mangsa yang turut mendapat rawatan di HPD petang semalam sebelum memohon dipindahkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah untuk rawatan lanjut, dilaporkan dalam keadaan stabil.

Setakat ini, kes keracunan metanol dilaporkan membabitkan lima mangsa.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Peniaga ingkar arahan penggunaan produk biodegradasi dikompaun

 
     

PRK Kimanis: Pimpinan PH perlu fikir langkah menangi semula hati rakyat - Anwar

 
     

BN kekalkan kerusi Kimanis

 
     

Dr Mahathir mahu Bersatu Kedah kukuhkan parti - Mukhriz

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel