Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sarawak tubuh Lembaga Pembangunan Industri Rumbia


Tarikh kemaskini: 22/06/2019





MUKAH, 22 Jun (Bernama) – Sarawak meluluskan penubuhan Lembaga Pembangunan Industri Rumbia bagi membangunkan industri tersebut dan meningkatkan pendapatan pekebun-pekebun kecil rumbia di negeri tersebut.

Mengumumkan perkara itu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, beliau akan menjadikan Craun Research Sdn Bhd, agensi di bawah Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi untuk menjadi lembaga tersebut.

“Craun saya tukarkan kepada lembaga dan ini akan menjadi satu organisasi yang dapat memberi perhatian kepada industri rumbia. Untuk permulaan, saya luluskan dana khas RM5 juta untuk lembaga ini,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Majlis Sambutan Gawai Raya dan pelancaran Gabungan Parti Sarawak (GPS) Zon 10 di Rumah Kalang, Ulu Bayan, Jalan Mukah-Selangau dekat sini hari ini.

Lembaga itu akan diletakkan di bawah Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak untuk menjadikan organisasi itu lebih berstruktur dan pembangunan yang dilaksanakan akan berkisar kepada cara moden.

Menurut Abang Johari, produk berasaskan rumbia seperti snek masyarakat Melanau yang dikenali sebagai tebaloi mempunyai potensi besar untuk dipasarkan ke luar negara melalui Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak (STATOS) di Singapura.

Tebaloi katanya, berjaya menarik minat hadirin yang menghadiri pembukaan pejabat itu baru-baru ini.

Terdahulu, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah dalam ucapannya berkata, tanaman rumbia di Sarawak berkeluasan 51,518 hektar dengan 45,392 hektar adalah di Mukah.

Beliau yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Dalat dan Ketua GPS Zon 10 (Dalat, Tellian dan Balingian) berkata 46,768 hektar tanaman rumbia diusahakan oleh pekebun-pekebun kecil manakala 4,750 lagi diusahakan secara estet mini.

Tanaman itu menduduki tangga ketiga sebagai tanaman eksport Sarawak selepas kelapa sawit dan lada dengan nilai eksport sebanyak RM89 juta.

“Dengan penubuhan lembaga ini, sasaran untuk meningkatkan nilai eksport rumbia kepada RM100 juta menjelang 2025 akan dapat dicapai,”katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel