Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Abang Johari sangkal Sarawak muflis dalam tempoh tiga tahun lagi


Tarikh kemaskini: 22/06/2019





MUKAH, 22 Jun (Bernama) -- Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyangkal dakwaan bahawa negeri itu akan menjadi muflis dalam masa tiga tahun lagi.

Menurut beliau, dakwaan tersebut telah dibuat tanpa mengambil kira pendapatan Sarawak daripada pelbagai sumber seperti minyak dan gas di samping kerajaan negeri mengamalkan tadbir urus kewangannya dengan cemerlang.

Dakwaan itu, katanya, turut dibuat hanya berasaskan kepada Belanjawan 2019 negeri yang berjumlah RM11 bilion.

"Kita ada pendapatan daripada dividen, royalti, premium dan hasil cukai. Tahun ini saya akan laksanakan cukai ke atas eksport minyak dan gas sebanyak 5 peratus yang memberi pendapatan RM3 bilion kepada Sarawak," katanya, dan menambah, Sarawak mempunyai hak ke atas minyak dan gas di negeri itu.

Berucap pada majlis sambutan Gawai Raya dan pelancaran Gabungan Parti Sarawak (GPS) Zon 10 di Rumah Panjang Kalang, Ulu Bayan Ulu, Jalan Mukah-Selangau dekat sini hari ini, beliau berkata pendapatan yang diperoleh negeri pada 2018 adalah sebanyak RM7 bilion.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika menghadiri majlis makan malam anjuran DAP Sarawak di Kuching semalam  berkata Sarawak mungkin muflis dalam tempoh tiga tahun lagi.

Menurut Lim, dengan belanjawan tahunan sebanyak RM11 bilion, rizab RM30 bilion Sarawak akan habis dalam masa tiga tahun.

Katanya  Sarawak mungkin mengalami nasib seperti Kelantan, yang menyaksikan kerajaan negeri berkenaan tidak mampu membayar gaji kakitangannya kerana pentadbiran yang lemah.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel