Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bakal pelabur jumpa kementerian untuk kendalikan kilang penapisan gula


Tarikh kemaskini: 23/06/2019





KUCHING, 23 Jun (Bernama) -- Beberapa bakal pelabur menemui pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selaku badan yang mengawal bekalan gula susulan hasrat mereka untuk mengendalikan kilang penapisan gula, kata Timbalan Menteri berkenaan Chong Chieng Jen.

Beliau berkata mereka bersedia untuk melabur bagi menambah baik sistem bekalan susulan dakwaan MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) bahawa ia berkemungkinan terpaksa ditutup akibat kilang penapisan gula itu kurang mendapat keuntungan.

“Pihak (domestik) yang berminat ini telah mendekati kami dan turut sanggup menjadikan sistem tersebut supaya lebih efisien ke arah menyediakan bekalan gula yang lebih murah daripada kilang-kilang ini yang kesemuanya terletak di Semenanjung buat masa ini.

“Setakat ini, MSM tidak mengadakan pertemuan dengan kementerian saya, jadi kami boleh menguruskan pertemuan dengan bakal pelabur, berbanding mencatat kerugian dan menutup kilang itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Ramah Tamah Gawai Raya 2019 anjuran kementerian itu, di sini hari ini.

MSM mendakwa pengeluaran jumlah permit import (AP) kepada pengeluar makanan dan minuman (F&B) di Sarawak menjejaskan prestasinya.

Sebelum ini Chong mengumumkan bahawa dasar baharu kementerian itu membenarkan pengeluar F&B di Sarawak untuk mengimport gula dari luar negara.

Ketika ini mereka menerima bekalan gula dari Thailand dengan harga RM1.70 sekilogram, termasuk caj pengangkutan berbanding RM2.70 sekilogram dan kadang kala pada harga yang lebih tinggi daripada MSM dan Central Sugar Refinery Sdn Bhd (CSR).

Berhubung penguatkuasaan KPDNHEP Sarawak bagi Skim Kawalan Harga Musim Perayaan bersempena Aidilfitri dan Gawai Dayak, Chong berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan mengenai penjual yang tidak mematuhi arahan.

Skim tersebut dilaksanakan mulai 25 Mei hingga 7 Jun bersempena Gawai dan 21 Mei hingga 19 Jun bagi Aidilfitri di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel