Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Dua anggota polis trafik cedera dilanggar


Tarikh kemaskini: 24/06/2019





SHAH ALAM, 24 Jun (Bernama) -- Dua anggota polis trafik cedera selepas dilanggar oleh sebuah kereta semasa melakukan sekatan jalan raya di Persiaran Kuala Selangor Seksyen 15, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 10.59 pagi memaklumkan bahawa dua anggotanya dilanggar oleh seorang suspek lelaki dan seorang suspek perempuan yang menaiki kereta jenis Proton Gen2 semasa sedang bertugas.

"Dalam kejadian itu, pasangan berkenaan cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya yang dijalankan yang kemudian telah melanggar seorang anggota trafik bertugas mengakibatkan beliau cedera pada bahagian leher dan kaki.

"Susulan itu, seorang anggota trafik yang lain kemudian telah mengejar pasangan berkenaan bagaimanapun semasa cuba menahan suspek, beliau turut dilanggar sehingga menyebabkan cedera pada kaki kiri," katanya ketika ditemui pemberita di Bahagian Kecemasan Hospital Shah Alam di sini hari ini.

Tambah Baharudin, kedua-dua pasangan berkenaan yang berumur 22 tahun itu berjaya ditahan oleh sepasukan anggota trafik di Bulatan Andalas Seksyen 18 di sini dan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

Kata Baharudin, kedua-dua anggotanya yang cedera itu telah dibawa ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan.

"Keadaan kedua-dua anggota ini agak serius bagaimanapun stabil," katanya.

Tambahnya siasatan awal polis mendapati suspek lelaki mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Akta Dadah Berbahaya ," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Nazrin rasmi Ekspo Antarabangsa Perak 2019

 
     

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel