Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Mahkamah batal prosiding hina mahkamah terhadap Mohd Rafizi Ramli


Tarikh kemaskini: 24/06/2019





KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Mahkamah Tinggi hari ini membatalkan kebenaran diperoleh National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) dan pengerusi eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Rafizi Ramli.

Prosiding menghina mahkamah berkenaan adalah berkaitan artikel disiarkan bekas anggota Parlimen Pandan itu di blog dan Facebook Mohd Rafizi membabitkan NFC.

Peguam Razlan Hadri Zulkifli, yang mewakili Mohd Rafizi berkata mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati tindakan menghina mahkamah terhadap Mohd Rafizi tidak mempunyai asas selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuannya untuk mengetepikan saman NFCorp dan Mohamad Salleh.

"Mahkamah hari ini berpendapat tiada asas kepada prosiding komital berkenaan. Oleh itu, mahkamah membatalkan kebenaran diperoleh NFCorp dan Mohamad Salleh," katanya kepada pemberita selepas kes disebut di dalam kamar Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad hari ini.

Razlan berkata Hakim Nik Hasmat memutuskan demikian selepas pihaknya memaklumkan kepada mahkamah berhubung perintah Mahkamah Rayuan  yang mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati Mohd Rafizi memfitnah dan memerintahkan anak guamnya membayar ganti rugi RM200,000 kepada NFCorp dan Mohamad Salleh.

Bagaimanapun, peguam itu berkata sekiranya NFCorp dan Mohamad Salleh menang dalam rayuan berhubung kes saman berkenaan di Mahkamah Persekutuan, mereka boleh memfailkan semula permohonan prosiding menghina mahkamah tersebut.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang turut hadir dalam prosiding hari ini berkata anak guamnya (NFCorp dan Mohamad Salleh) telah memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan mengetepikan saman mereka dan kes berkenaan ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Persekutuan pada 11 Julai.

Pada 23 Mei 2017, Mohamad Salleh dan NFCorp memperoleh kebenaran untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Mohd Rafizi selepas beliau sekali lagi menerbitkan artikel berhubung NFCorp walaupun terdapat perintah mahkamah yang menghalangnya berbuat demikian.

Mohd Rafizi turut memohon untuk mengetepikan prosiding menghina mahkamah yang diperoleh Mohamad Salleh dalam kes saman difailkan Mohamad Salleh dan NFCorp terhadap Mohd Rafizi berhubung pembelian hartanah di KL Eco City, Bangsar. 

Pada 31 Okt 2016, Mahkamah Tinggi membenarkan saman yang difailkan Mohamad Salleh dan NFCorp selepas mendapati Mohd Rafizi memfitnah mereka berhubung pembelian hartanah itu dan memerintahkan Mohd Rafizi membayar ganti rugi berjumlah RM200,000 kepada kedua-dua plaintif.

Bagaimanapun, mahkamah menolak saman Mohamad Salleh dan NFCorp terhadap Malaysiakini, yang dinamakan sebagai defendan kedua, dan memerintahkan plaintif membayar kos sebanyak RM50,000 kepada portal berita berkenaan.

Pada 13 Mei lepas, Mohd Rafizi menang dalam rayuannya untuk mengetepikan  perintah Mahkamah Tinggi terhadapnya yang memerintahkan beliau membayar ganti rugi RM200,000 kepada Mohamad Salleh dan syarikatnya kerana memfitnah.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Datuk Hamid Sultan Abu Backer, Datuk Hanipah Farikullah dan Datuk Wira Kamaludin Md Said membenarkan rayuan Mohd Rafiz selepas sebulat suara bersetuju bahawa rayuan Mohd Rafizi mempunyai merit.

Mahkamah turut mengarahkan Mohamad Salleh untuk memulangkan sejumlah RM300,000, termasuk RM200,000 sebagai ganti rugi dan RM100,000 sebagai kos yang telah dibayar oleh Mohd Rafizi kepada Mohamad Salleh.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel