Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Permainan dalam talian: kerjasama Razer-Visa mengubah cara pembayaran di Asia Tenggara


Tarikh kemaskini: 24/06/2019




KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Razer, jenama  gaya hidup untuk peminat permainan video yang terkemuka di dunia, bekerjasama dengan Visa, peneraju dalam pembayaran digital di peringkat antarabangsa untuk mengubah cara pembayaran di Asia Tenggara.

Kerjasama itu akan mengintegrasikan penyelesaian prabayar Visa dalam e-dompet Razer Pay untuk membolehkan pengguna membuat pembayaran di 54 juta lokasi peniaga di rangkaian global Visa dan membawa kemasukan kewangan kepada penduduk di Asia Tenggara yang tidak mempunyai akaun bank dan kurang mendapat perkhidmatan. 

"Visa dan Razer Fintech bersama-sama berpeluang untuk mengubah pengalaman pembayaran bukan hanya untuk komuniti permainan tetapi juga pelanggan di Asia Tenggara yang tidak mempunyai akaun bank dan kurang mendapat perkhidmatan," kata Presiden Serantau Visa (Asia Pasifik), Chris Clark.

Di bawah inisiatif ini, cabang teknologi kewangan Razer, Razer Fintech dan Visa akan membangunkan penyelesaian prabayar Visa maya untuk dimasukkan ke dalam e-dompet Razer Pay, membolehkan sehingga 60 juta pengguna Razer membuat pembayaran di mana sahaja Visa diterima.

Penyelesaian prabayar akan melengkapi tawaran sedia ada Razer Pay, termasuk tambah nilai mudah alih, pendahulu dalam kredit maya dan pembelian produk hiburan iaitu muzik dan perkhidmatan penstriman.

Penyelesaian kad prabayar bersepadu itu juga akan menawarkan pengguna kaedah tambah nilai dan wang tunai mudah yang disediakan Razer Pay, disokong oleh rangka kerja privasi dan keselamatan yang canggih.

Kerjasama itu juga bertujuan untuk memperkasakan segmen penerima awal dan memperkenalkan keupayaan perancangan kewangan yang interaktif dan mudah bagi meningkatkan tahap celik kewangan penduduk Asia Tenggara.

Razer Fintech dan Visa merancang penyelesaian iitu dilaksanakan secara berperingkat di negara-negara terpilih di seluruh Asia Tenggara pada bulan-bulan akan datang, sebelum mengembangkannya di peringkat global.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50

 
     

Lexis Hibiscus Port Dickson dinamakan tempat perkahwinan terkemuka di dunia

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel