Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerani didenda RM5,000 dera anak tiri


Tarikh kemaskini: 24/06/2019





KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Seorang kerani syarikat swasta didenda RM5,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana  mendera anak lelaki tirinya, Februari lepas.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman terhadap bapa tiri berusia 32 tahun itu  selepas dia mengaku bersalah atas  pertuduhan melakukan penderaan terhadap anak tirinya berumur lima tahun, sehingga menyebabkan kecederaan benjol, bengkak dan lebam di bahagian kepala sebelah kiri dan kesan merah di bahagian mata sebelah kanan.

Dia melakukan kesalahan itu di sebuah kediaman di Cheras, pada  10 pagi, 17 Feb lepas mengikut Seksyen 3 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan memohon hukuman setimpal dengan mempertimbangkan perbuatan tersebut yang dilakukan terhadap anak tirinya sendiri.

Tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Amin Abdullah merayu hukuman ringan kerana dia merupakan penanggung tunggal keluarga termasuk seorang isteri yang  sarat mengandung dan tiga anak yang masih kecil.

“Mangsa kini berada di bawah jagaan ibu saudaranya,” kata peguam itu.

Mengikut fakta kes, ibu mangsa melihat mangsa dimarahi bapa tirinya kerana tidak menjaga adiknya yang terjatuh dari kerusi dan menyebabkan lebam di mata kiri adik mangsa. 

Tertuduh kemudiannya keluar rumah bersama mangsa dan adiknya untuk membeli ais bagi menuam lebam tersebut dan sementara menunggu lif, tertuduh sekali lagi memarahi dan menampar mangsa sehingga menyebabkan mangsa terjatuh di tangga dan kepala terhantuk ke dinding. 

Pada 25 Feb lepas, mangsa telah dibawa ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan  dan doktor mendapati mangsa telah didera lalu membuat laporan polis serta menyatakan ibu mangsa tidak hadir ke hospital apabila dihubungi. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50

 
     

Lexis Hibiscus Port Dickson dinamakan tempat perkahwinan terkemuka di dunia

 
     

Ibu berpantang harungi banjir bersama bayi berusia 15 hari

 
     

JAS Negeri Sembilan sita kilang disyaki lepaskan enap cemar minyak hitam terpakai

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel