Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Perang perdagangan tidak beri manfaat kepada mana-mana negara - IMF


Tarikh kemaskini: 24/06/2019




KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Perang perdagangan tidak akan memberi manfaat kepada mana-mana negara bagi jangka panjang, kata Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Christine Lagarde.

Beliau berkata perang perdagangan, walaupun menawarkan “penyelesaian jangka pendek” yang dianggap peluang baik bagi sesetengah negara, namun ia tidak semestinya membawa manfaat jangka panjang kepada antaranya perbelanjaan dan pelaburan langsung asing.

“Kami menyedari bahawa ketegangan perdagangan sebenarnya boleh memberi kesan ketara ke atas pertumbuhan global. Kami bimbang penurunan 0.5 peratus pertumbuhan global pada 2020 adalah kesan kenaikan tarif 25 peratus yang dikenakan ke atas semua perdagangan berkaitan Amerika Syarikat (AS) dan China.

“Susulan pertumbuhan lembap yang kami saksikan tahun ini, IMF berharap pertumbuhan tidak akan susut akibat ketegangan perdagangan,” katanya dalam sidang media bersama Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus sempena lawatan dua hari beliau di Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata perang perdagangan atau ketegangan perdagangan tidak pernah dikaitkan dengan peningkatan kesejahteraan untuk rakyat, angka pertumbuhan tambahan, sebaliknya ia menimbulkan situasi tidak boleh jangka dan ketidaktentuan ekonomi dunia.

Beliau berkata akibat perang perdagangan, pelabur tidak akan melabur dan peniaga tidak mahu berdagang manakala pengguna tidak akan melakukan aktiviti kepenggunaan.

Lagarde, yang akan mewakili IMF di persidangan G20 di Osaka, Jepun minggu depan, berkata sebarang langkah positif ke arah menyelesaikan ketegangan perdagangan semasa antara AS dan China pastinya menjadi berita baik bagi ekonomi dunia.

Selain itu, beliau berkata IMF gembira apabila mendapati Belanjawan 2019 Malaysia telah mematuhi semula disiplin fiskal, seperti dinyatakan dalam laporan Perundingan Artikel IV 2019 IMF yang menyatakan negara ini telah mewujudkan semula penampan, sekiranya berlaku keadaan memerlukan pada masa depan.

Dalam rangka lawatan itu, beliau akan bertemu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan akan bertukar-tukar pandangan dan maklumat berkaitan antaranya antirasuah dan agenda kerajaan, katanya.

“Prinsip tadbir urus perlu benar-benar sejajar dan diterapkan dalam sistem perundangan Malaysia kerana ia adalah cara terbaik untuk memastikan negara ini dapat bertahan seiring masa yang berlalu selain perubahan pihak berkuasa sepanjang dekad-dekad akan datang.

“Ini merupakan legasi yang amat penting. Saya pasti Dr Mahathir akan berbangga untuk legasi ini kekal terkandung dalam sistem perundangan.

“Sebagaimana yang saya katakan di Universiti Malaya hari ini, seperti laksa yang enak dan serba lengkap ramuannya, ekonomi Malaysia juga tidak akan berjaya jika ia tidak merangkumi elemen tambahan termasuk tadbir urus, perangi rasuah serta pendidikan tinggi dan lebih baik,” katanya.

Lagarde juga menyokong kenyataan perdana menteri bahawa perdagangan dalaman antara negara ASEAN seharusnya dipertingkatkan, dalam usaha memastikan ekonomi ASEAN terus berkembang dan kekal berdaya saing di peringkat global.

“Di kebanyakan wilayah di dunia, kami menyokong penyepaduan yang lebih baik. Ini pastinya, untuk memberi anda contoh lain di luar ASEAN, jika anda melihat negara besar lain...terdapat pengaturan penyepaduan serantau yang bersifat menyokong ke arah perdagangan lebih baik dan meningkat serta lebih banyak projek usaha sama, termasuk dalam infrastruktur.

“Bagi sampai ke tahap ini, walaupun rantau ASEAN pelbagai dan bertaburan secara geografi, ia boleh meningkatkan hubungan intra-serantau. Saya rasa kekuatan dalaman tidak boleh diabaikan, justeru itu kami amat menyokong inisiatif sedemikian,” katanya.

Sementara itu, Nor Shamsiah berkata di bawah kepimpinan Lagarde, usaha penting telah dilaksanakan untuk meningkatkan perwakilan negara pesat membangun di peringkat IMF sekali gus mengiktiraf kedudukan mereka yang semakin penting kepada ekonomi dunia.

“IMF juga amat menghargai pandangan serta pendekatan yang dibuat oleh negara pesat membangun dalam menangani cabaran dasar,” katanya.

 Ini termasuk isu tugasan meluas meliputi tadbir urus, rasuah, ketidaksamaan, perubahan iklim dan jalinan  negara kepada ekonomi lebih besar.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Jumlah pendaki Gunung Kinabalu meningkat tujuh peratus

 
     

Malaysia harus berkembang pacu usaha ke arah kelestarian masa depan - Sultan Nazrin

 
     

Polis tahan lelaki dakwa Nora Anne dirogol Orang Asli

 
     

Terima keputusan Kabinet lanjut lesen Lynas

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel