Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

681 kumpulan kongsi gelap, 9,042 anggota dikenal pasti - Pengarah JSJ


Tarikh kemaskini: 24/06/2019





KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Sebanyak 681 kumpulan kongsi gelap dikenal pasti bertapak di negara ini dengan bilangan keanggotaan 9,042 orang yang kini dalam pemantauan polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata polis menahan 627 individu yang disyaki anggota kumpulan kongsi gelap dalam Op Cantas yang dijalankan dari Januari hingga Sabtu lepas.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 19 orang ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1957 (Poca) dengan majoriti yang ditangkap adalah rakyat tempatan.

Tindakan drastik akan diambil terhadap kumpulan kongsi gelap di bawah peruntukan-peruntukan yang ada antaranya Kanun Keseksaan yang menggunakan peruntukan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), katanya pada sidang akhbar khas di Bukit Aman di sini hari ini.

Beliau berkata sejak Sosma diwujudkan, seramai 535 individu telah ditahan untuk membantu siasatan dan 456 orang dituduh kerana menjadi anggota kumpulan jenayah terancang.

“Tindakan tegas perlu dilaksanakan agar kegiatan gangsterisme dihapuskan. 

Tindakan mengikut peruntukan di bawah Sosma, Poca, Kanun Keseksaan, Akta Senjata 1960 dan lain-lain akan dipergiatkan tahun ini,” katanya.

Beliau berkata Sosma walaupun kini di peringkat akhir kajian oleh Kementerian Dalam Negeri, masih boleh diguna pakai bagi membanteras jenayah terancang yang melibatkan kesalahan serius mengikut Bab VIB Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50

 
     

Lexis Hibiscus Port Dickson dinamakan tempat perkahwinan terkemuka di dunia

 
     

Ibu berpantang harungi banjir bersama bayi berusia 15 hari

 
     

JAS Negeri Sembilan sita kilang disyaki lepaskan enap cemar minyak hitam terpakai

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel