Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik ke-33 bermula hari ini


Tarikh kemaskini: 24/06/2019




KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik (APR) ke-33 yang berlangsung tiga hari bermula hari ini, membincangkan pelbagai isu mengenai geopolitik, keselamatan, ekonomi dan sosio-budaya.

Anjuran bersama Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia dan ASEAN-ISIS, diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur, bertemakan “A Great Unwinding? Rules-Based Regional Security Order to 2020 and Beyond.”

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur APR merangkap Pengerusi ISIS, Tan Sri Rastam Mohd Isa, dalam ucapannya berkata, kira-kira 300 perwakilan menyertai APR tahun ini untuk membincangkan pelbagai topik, termasuk keselamatan, kemapanan dan kemakmuran rantau Asia-Pasifik.

"Selain itu, terdapat isu baharu dan tidak pernah terjadi sebelum ini yang menyumbang kepada ketidakstabilan dunia seperti persaingan teknologi dalam era digital. Ia juga akan dibincangkan semasa meja bulat nanti," katanya.

Ucapan pembukaan pula disampaikan Pengerusi Jaringan ASEAN-ISIS, Prof Aileen SP Baviera.

Baviera, dalam prakata buku program berkata, APR satu persidangan keselamatan paling penting dan inklusif di rantau ini, dan agendanya selama beberapa dekad mencerminkan perubahan corak perdamaian dan konflik di rantau Asia Pasifik.

Beliau berkata ketegangan geopolitik terus berlaku, terutamanya di kalangan kuasa besar, sementara cabaran keselamatan terus berleluasa di dalam kancah politik negara.

"Perebutan kuasa di beberapa negara Asia Tenggara telah membawa perpecahan dan masa depan demokrasi dipertaruhkan," katanya, sambil menambah masyarakat Rohingya terus menderita dan rantau ini tidak dapat membantu mencari penyelesaian jangka panjang setakat ini.

Topik lain yang akan dibincangkan ialah Perkongsian Asia-Eropah, Kawalan Senjata Nuklear, Semenanjung Korea dan Krisis Kemanusiaan Rohingya.

Persidangan meja bulat itu juga akan membincangkan mengenai isu China, seperti peranannya dalam komuniti global untuk dekad akan datang.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual menyampaikan ucaptama bertajuk "New Malaysia in A Changing Regional Order" pada Selasa, di mana beliau akan berkongsi pandangan mengenai pembangunan domestik Malaysia, keadaan rantau Asia Pasifik dan trajektori hal ehwal dunia.

APR kali ini turut disertai Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Duta Kesatuan Eropah ke ASEAN Francisco Fontan, pengarah ISIS-Thailand Dr Thitinan Pongsudhirak dan pengarah program pertahanan Pusat Keselamatan Amerika Baharu, Elbridge Colby.

APR diadakan setiap tahun sejak 1987.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Nazrin, Tuanku Zara berangkat ke Pertandingan Pidato Diraja 2019

 
     

Tiada lagi pencemaran di Sungai Ulu Benut

 
     

Buluh, daun rumbia hasilkan replika tempua terbesar di Malaysia

 
     

KYP Advanced Skills dialukan dalam penubuhan De' Royal Azizah Culinary School

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel