PNB tidak lagi akan jadi pemaju hartanah selepasi projek utama selesai - CEO
Tarikh kemaskini: 24/06/2019

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Permodalan Nasional Bhd (PNB) tidak lagi akan menjadi pemaju hartanah selepas selesainya projek PNB 118 dan PNB 1194, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Abdul Rahman Ahmad.
“PNB sangat jelas. Selepas projek PNB 118 dan PNB 1194 selesai, kami tidak lagi berhasrat menjadi pemaju hartanah. Kami memiliki simpanan tanah dan apabila ia matang, rancangannya adalah untuk menjana wang daripadanya dan dijual kepada pemaju hartanah,” katanya kepada pemberita semasa taklimat media mengenai prestasi separuh pertama 2019 PNB.
PNB 118 adalah projek pembinaan bangunan setinggi 118 tingkat yang kini sudah sampai aras ke-75 dan dijangka mencecah aras ke-80-90 pada akhir tahun.
PNB 1194 pula projek pembangunan di atas bekas ibu pejabat Malaysia Airlines Bhd di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.
Kedua-dua projek itu dijangka siap pada 2021.
Abdul Rahman berkata jumlah portfolio hartanah syarikat itu secara kasarnya adalah bernilai RM8 bilion, termasuk simpanan tanah besarnya dan hartanah di luar negara iaitu di London, United Kingdom.
“Di bawah cabaran dalam pasaran hartanah, kami berusaha untuk mengimbangi semula portfolio hartanah domestik kami,” katanya, sambil menambah PNB juga merancang menjana wang daripada simpanan tanah tempatannya seluas 3,642.17 hektar dengan menjual tanah tersebut kepada pemaju hartanah.
Tanpa sebarang penjelasan lanjut beliau berkata beberapa penjualan telahpun dibuat.
-- BERNAMA
|