Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Wanita didenda RM4,500 ceroboh firma guaman, gagal pamer kad pengenalan


Tarikh kemaskini: 25/06/2019





PETALING JAYA, 25 Jun (Bernama) -- Seorang wanita dijatuhi hukuman denda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan menceroboh firma guaman dan gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri  Khamis lepas.

Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir menjatuhkan hukuman itu terhadap Sophia Maniam, yang tidak bekerja, 37, selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan tersebut.

Bagi pertuduhan menceroboh, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM4,000 atau lima bulan penjara  manakala untuk kesalahan tidak memiliki kad pengenalan, dia dikenakan denda RM500 atau dua bulan penjara.

Ketika ditanya Majistret mengapa dia melakukan kesalahan itu,  tertuduh memberitahu bahawa dia tidak tahu membaca papan tanda dan memasuki pejabat itu hanya untuk mencari pekerjaan.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa  menceroboh masuk pejabat Guaman Ferida, Hassan, Low dan Ng di Jalan PJS 8/6, Dataran Mentari, Bandar Sunway, di sini, pada 7 pagi, 20 Jun lepas mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tiga tahun atau denda yang boleh sampai RM5,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, dia didapati gagal menunjukkan dokumen kad pengenalan diri atau sebarang dokumen diri ketika diminta pegawai polis di tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 7 (1) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(1)(n) peraturan sama.

Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran kepada tertuduh, bagaimanapun wanita itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum kerana dia ingin mencari pekerjaan bagi menanggung keluarga.

Mengikut fakta kes, wanita itu didapati berlegar-legar di hadapan pintu premis itu sebelum seorang pekerja firma itu menyedari ada pintu terbuka dan ternampak tertuduh berada di tingkat tiga.

Pekerja itu memeriksa rakaman kamera litar tertutup dan mendapati wanita itu masuk ke pejabat tersebut tanpa ada kad akses dan menaiki tingkat tiga sebelum ke bilik stor di tingkat dua sambil melihat barang-barang dalam stor itu. 

Wanita itu kemudian ditahan polis dan dia gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Sultan Nazrin, Tuanku Zara berangkat ke Pertandingan Pidato Diraja 2019

 
     

Tiada lagi pencemaran di Sungai Ulu Benut

 
     

Buluh, daun rumbia hasilkan replika tempua terbesar di Malaysia

 
     

KYP Advanced Skills dialukan dalam penubuhan De' Royal Azizah Culinary School

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel